A+ A A-

Politeknik Tertarik Pembangunan UniCITI Alam

Sungai Chuchuh,9 Januari - Kejayaan pembangunan Kampus Uniciti Alam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menambat hati pihak Politeknik menerusi Jabatan Pembangunannya bagi mewujudkan konsep pembangunan yang sama untuk penginapan pelajarnya.

Pernyataan tersebut disuarakan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Politeknik , Datuk Mohlis Jaafar sempena lawatan delegasi organisasi berkenaan ke Uniciti Alam yang dibina di atas keluasan tanah 19.34 ekar, di sini hari ini.

Datuk Mohlis berkata beliau kagum dengan pembangunan kolej kediaman yang dijalankan UniMAP di kampus itu dan berharap konsep yang sama dapat direalisasikan kepada 33 buah Politeknik di seluruh negara.

"Pembangunan kampus ini juga bertepatan dengan kehendak sistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sekaligus amat sesuai dilaksanakan oleh Politeknik bagi menampung pelajar-pelajar yang semakin meningkat.

Justeru, saya berharap sekiranya hasrat ini mencapai persetujuan kelak, UniMAP dan Politeknik dapat berkerjasama dalam membangunkan kolej kediaman atau asrama seperti kejayaan Uniciti ini," katanya ketika berucap di taklimat ringkas pembangunan Uniciti di sini.

Hadir sama ke taklimat berkenaan ialah Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin dan Pengerusi Eksekutif Proven Holding Berhad merangkap Profesor Adjung UniMAP, Datuk Yusof Jusoh.

Terdahulu, Dr.Kamarudin berkata UniMAP amat mengalu-alukan kerjasama di antara UniMAP dan Politeknik serta sedia berkongsi kemudahan yang dimiliki UniMAP kepada pelajar pelajar Politeknik sekaligus memenuhi konsep TVET selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) (PPPM-PT).

Ujarnya, UniMAP menggunakan pendekatan perkongsian sektor awam-swasta sebagai ramuan utama pembangunan di Uniciti ALAM ini dengan menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi membangunkan kampus yang moden dan terancang dengan kemudahan kemudahan terkini untuk memudahkan aktiviti pengajaran pembelajaran, penyelidikan dan pembangunan pelajar.

“Sejumlah 480 unit apartment dengan keluasan 860 kaki persegi diperuntukkan untuk kediaman pelajar dan boleh menampung seramai 3,840 pelajar dari Program Pengajian Teknologi Kejuruteraan dan pelajar Diploma UniMAP.

“Selain itu, ia turut menawarkan 92 unit ruang kedai dan pejabat untuk para usahawan dari kalangan warga UniMAP dalam usaha kita untuk menjana kreativiti, inovasi dan minda usahawan di kalangan warga UniMAP termasuk pelajar,” ujar beliau.

Dalam majlis ringkas itu juga, Penolong Naib Canselor Kelestarian Korporat, Dato' Wira Dr Salleh Din dan Ketua Pegawai Operasi UniMAP Holdings Dr Najmuddin Hassan turut memberi taklimat kejayaan pembangunan Uniciti kepada delegasi berkenaan.

Delegasi itu turut dibawa melawat rumah contoh penginapan pelajar di Uniciti, hub digital Uniciti, model teknologi IBS dan Pusat Agroteknologi Lestari UniMAP.

Pembangunan Uniciti dimulakan pada tahun 2012 yang lalu dan kini bukan sekadar menempatkan pelajar UniMAP tetapi turut menjana pembangunan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) iaitu Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) serta pertumbuhan sektor perniagaan seperti restoran, pasaraya, pusat perubatan dan gimnasium.

Politeknik Tertarik Pembangunan UniCITI Alam

Politeknik Tertarik Pembangunan UniCITI Alam

Politeknik Tertarik Pembangunan UniCITI Alam