A+ A A-

UniMAP Bakal Anjurkan UniKOW

KANGAR, 8 Januari— Dalam usaha memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bakal menganjurkan UniMAP Korean Week (UniKOW) yang dijangka berlangsung pada April ini.

Naib Canselor UniMAP, Briged. Jen. Datuk Prof. Emeritus  Dr. Kamarudin Hussin berkata, kemajuan Korea Selatan dalam bidang TVET telah menarik minat UniMAP untuk menjadikan negara tersebut sebagai modelnya.

“Dengan pengalaman melebihi 30 tahun dalam TVET, kita percaya Korea Selatan merupakan acuan terbaik bagi Malaysia dalam mencorak dan memupuk minat golongan remaja untuk menceburi bidang ini.

“UniKOW telah mendapat perhatian syarikat-syarikat gergasi Korea seperti SAMSUNG dan KIA untuk bersama-sama mengambil bahagian dalam program ini,’katanya ketika ditemui baharu-baharu ini.

Ujar Dr. Kamarudin lagi, antara pengisian UniKOW adalah International Conference On Korea High-Tech Application (ICKHA’16), Festival Kebudayaan “Hwan Yeong” dan pameran universiti dan industri dari Korea yang dirancang bakal berlangsung pada 8, 9 dan 10 April.

“Program seumpama ini yang julung kali diadakan seharusnya dimanfaatkan sebaiknya oleh semua golongan terutama sekali golongan pelajar dan pihak industri untuk menimba sebanyak mungkin ilmu mengenai budaya dan kemahiran yang dimiliki Korea ini.

“Kita mengalu-alukan kehadiran orang ramai dan membuka peluang kepada pihak universiti dan industri yang berminat untuk menyertai persidangan dan pameran sepanjang UniKOW ini berlangsung,”katanya lagi.

Kepada sesiapa yang berminat untuk menyertai UniKOW ini boleh hubungi Dr Haziah Abdul Hamid di talian 04-9885601 atau emel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. (persidangan) manakala bagi yang berminat menyertai festival sempena UniKOW berkenaan boleh menghubungi En Mohd Izwan Izhar Haris di talian 04-9798720 atau emel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..