A+ A A-

UniMAP Cemerlang Dalam Bidang Kebudayaan

Kangar, 18 Januari – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) tidak hanya memberi tumpuan kepada kecemerlangan akademik dan penyelidikan semata-mata tetapi turut menjadikan bidang kebudayaan sebagai antara fokus utama untuk menempa nama universiti tersebut sebaris dengan universiti yang lebih lama.

Ini terbukti apabila seorang pelajar antarabangsanya, Shehabaddin Ghilan dari Yemen dinobatkan sebagai penerima Anugerah Bonang Emas bagi Kategori Pelajar Paling Aktif.

Anugerah disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin Haji Mohd Dom pada Majlis Anugerah Seni yang dianjurkan Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM) 2015 di Terengganu Equestrian Resort (TER) Kuala Terengganu baru-baru ini.

Selain Shehabaddin, Kelab Sutramaya UniMAP  yang berfokus kepada tarian turut terpilih untuk menerima Anugerah Gambang Mustika bagi Kategori Kelab Terbaik.

Dalam ucapannya, Tan Sri Alimuddin menyifatkan bahawa penganjuran majlis seperti ini adalah sebagai salah satu cara untuk menzahirkan penghargaan dan pengiktirafan kepada pelajar yang bergiat aktif dalam bidang kesenian dan kebudayaan.

“Penglibatan dalam bidang kesenian dan kebudayaan terutamanya di kalangan penuntut-penuntut universiti awam akan menjadikan mahasiswa ketahap yang lebih baik serta mampu menghasilkan daya pemikiran kreatif, motivasi yang cemerlang dan nilai kerja berpasukan.”

“Malah, penglibatan dan kerjasama yang sangat baik daripada 20 universiti awam di Malaysia ini secara tidak langsung menjadi perangsang kepada mahasiswa dan mahasiswi untuk terus menjinakkan diri dalam aktiviti kesenian dan kebudayaan,” katanya.

Menurut Pengarah Pusat Kesenian & Warisan UniSZA merangkap Setiausaha MAKUM Sesi 2013/2015, Sahar Sa’di Hashim, setiap universiti menghantar senarai calon dan juga kelab kebudayaan dari universiti mereka dan pihak sekretariat memilih hanya seorang pelajar dan juga sebuah kelab kesenian dan kebudayaan yang paling aktif dari setiap UA bagi menerima anugerah tersebut

“Oleh itu, seramai 20 pelajar terpilih menerima Anugerah Bonang Emas MAKUM bagi Kategori Pelajar Paling Aktif dan 20 kelab kebudayaan UA menerima Anugerah Gambang Mustika MAKUM bagi Kategori Kelab Terbaik,” katanya.

Selain dua anugerah tersebut, terdapat lima lagi anugerah yang menjadi rebutan pada malam tersebut iaitu Anugerah Citra Budiman Emas MAKUM yang diberikan kepada Pegawai MAKUM yang gigih untuk meningkatkan mutu kecemerlangan MAKUM melalui sumbangan aktif dalam menganjurkan atau menyelaras aktiviti MAKUM ke arah memartabatkan Warisan Budaya Bangsa di university masing-masing.

Manakala Anugerah Gong Kencana MAKUM diberikan kepada universiti awam yang paling menonjol dalam menyertai pertandingan dan program-program yang dipertandingan oleh MAKUM; Anugerah Kenong Budi MAKUM adalah untuk agensi  yang  banyak memberikan sumbangan dan berjasa kearah kecemerlangan MAKUM;

Lain-lain anugerah adalah Anugerah Saron Wangsa MAKUM pula dianugerahkan kepada setiausaha  MAKUM; dan Anugerah Saron Wangsa Utama MAKUM dianugerahkan kepada Sekretariat  MAKUM  Sesi  2013-2015.

Majlis yang telah mendapat kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ini turut mengumumkan pemilihan Univerisiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai sekretariat MAKUM bagi 2016 hingga 2017.

UniMAP Cemerlang Dalam Bidang Kebudayaan