A+ A A-

UniMAP Sasar 10 Emas di SUKIPT 2016

KANGAR, 20 Januari— Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mensasarkan 10 pingat emas pada Sukan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (SUKIPT) 2016 yang bakal berlangsung pada 25 Januari hingga 5 Februari 2016 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin berkata, sasaran tersebut ditetapkan dalam usaha mengekalkan pencapaian dengan  memperoleh tempat 10 terbaik pada  SUKIPT 2014 lalu.

 “Pada tahun 2014 lalu, kita meraih kedudukan keempat keseluruhan dan pada penyertaan kali ini saya mengharapkan UniMAP dapat mengekalkan kedudukan atau memperbaiki kedudukan yang lebih baik lagi pada kejohanan kali ini.

“Saya percaya kita akan mampu mencapai sasaran 10 pingat emas, sembilan  perak dan lapan gangsa sekiranya para atlet berusaha sehabis baik,”katanya ketika berucap pada majlis Penyerahan bendera Kontinjen UniMAP ke SUKIPT 2016 di Kampus Kubang Gajah UniMAP, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Dato’. Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP  Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan dan Pengarah Pusat Sukan UniMAP, merangkap Ketua Kontinjen SUKIPT UniMAP 2016, Suhizaz Sudin.

Ujar beliau , antara acara yang disasarkan menjadi penyumbang emas ialah Karate Do, Olahraga, Bola Tampar Pantai dan Petanque.

“Kita akan menyertai 10 acara daripada 25 acara yang dipertandingkan dan UniMAP menghantar kontinjen seramai 132 orang atlit termasuk pegawai yang bakal menggalas cabaran SUKIPT 2016 kali ini.

“Saya yakin, semua atlet telah melakukan persedian yang tebaik dan bersedia untuk mengharumkan nama universiti pada kejohanan kali ini,”katanya.

Antara acara yang akan disertai UniMAP adalah Bola Baling (L), Boling Padang,Karate Do, Silat, Taekwando, Tenis,Petanque, Olahraga, Memanah dan Bola Tampar Pantai

Untuk rekod, pada SUKIPT 2014 yang diadakan di Universiti Teknologi MARA lalu, UniMAP berjaya mengutip  15  emas, enam perak dan lapan gangsa bagi meraih tempat keempat keseluruhan.

Para Atlit dan Pegawai  Kontinjen SUKUIPT UniMAP bersama Naib Canselor

Para Atlit dan Pegawai  Kontinjen SUKUIPT UniMAP bersama Naib Canselor