A+ A A-

PPD UniMAP Terima Tauliah Pusat Latihan SLDN

Kangar, 22 Januari - Pusat Pengajian Diploma (PPD), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah mencatat sejarah apabila ditauliahkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia sebagai salah satu Pusat Latihan Dual Nasional (PLDN).

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin berkata, pengiktirafan tersebut merupakan satu lagi pemangkin ke arah melahirkan tenaga kerja mahir selaras dengan seruan kerajaan untuk memperkasakan agenda Latihan Teknikal Dan Vokasional TVET di Malaysia.

Jelas beliau, memandangkan pendidikan teknik dan vokasional perlu diberi perhatian penting oleh semua pihak, maka UniMAP menetapkan strategi melalui PLDN untuk memastikan pembangunan pendidikan dalam negara terus mampan dan berdaya berdaya saing.

Menurut beliau,  dengan pengiktirafan tersebut juga, para pelajar akan menjalani sesi pembelajaran teori di UniMAP manakala latihan praktikal boleh dijalankan di mana-mana industri yang berdaftar sebagai pusat latihan dengan JPK.

“Melalui inisiatif ini, pelajar Diploma Kejuruteraan UniMAP bukan sahaja mendapat sijil diploma universiti tetapi juga akan mendapat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) setelah mereka menamatkan pengajian kelak.

“Langkah ini dilihat bakal membantu pelajar yang bergraduat untuk menjadi lebih berdaya saing dalam merebut peluang pekerjaan di industri sama ada di dalam atau luar negara,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

PPD UniMAP yang dahulunya dikenali sebagai Unit Penyelarasan Program Diploma (UPPD) telah ditubuhkan pada 1 April 2006 dengan menawarkan enam program pengajian Diploma kejuruteraan iaitu Kejuruteraan Metallurgi, Kejuruteraan Pembuatan, Kejuruteraan Komputer, Kejuruteraan Mekatronik, Kejuruteraan Mikro Elektronik dan Program Diploma Kejuruteraan Elektrik

Menuru Dr. Kamarudin, menerusi PLDN tersebut, PPD menerima tauliah dalam 13 bidang pekerjaan iaitu Juruteknik Kanan Program Logik, Juruteknik Rangkaian (Rekabentuk), Operasi Sistem Komputer, Kawalan Kualiti Industri, Operasi Pemesinan, Pengeluaran Pemasangan Semikonduktor dan Juruteknik Embedded System (Rekabentuk).

Selain itu, PPD UniMAP turut memperolehi tauliah bagi bidang Pemasangan Penyelenggaraan Elektrik Satu Fasa, Pemasangan  Penyelenggaraan Elektrik & LED, Proses Kimpalan Arka Kepingan Logam, Proses Kimpalan Gas Logam, Pelukis Plan Mekanikal dan Perkhidmatan Sokongan Kejuruteraan Automasi Industri.

“Pentauliahan ini juga bakal membuka peluang untuk UniMAP menawarkan kursus-kursus jangka pendek kepada pihak luar dan ia sekali gus dapat mendokong agenda Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) dari universiti kepada masyarakat,” ujar beliau lagi.

PPD UniMAP Terima Tauliah Pusat Latihan SLDN