- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Program CSR UniMAP Sumbang Teknologi Solar Panel
Tumpat, 24 Januari - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus komited dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) apabila menyumbangkan teknologi solar panel di sekolah angkatnya di sini, hari ini.
Teknologi solar bernilai RM5,000 itu diserahkan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Laut ketika delegasi UniMAP diketuai Naib Canselornya mengadakan lawatan ke sekolah itu.
Naib Canselor UniMAP Brig. Jen. Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin berkata usaha berkenaan adalah salah satu promosi kepada guru dan pelajar sekolah itu mengenai pengajian kejuruteraan serta pendedahan mengenai teknologi solar.
Katanya, ia melibatkan dua pusat pengajian kejuruteraan (PPK) di UniMAP iaitu Sistem Elektrik dan Mikroelektronik.
"Pada program CSR kali ini UniMAP turut melakukan pembaharuan iaitu turut menyumbangkan papan kenyataan digital (Display Board Digital) kepada sekolah ini," katanya.
Menurutnya, beliau turut berbamgga dengan prestasi SMKKL walaupun pernah dilanda bencana banjir pada Disember 2014 apabila menjadi antara sekolah cemerlang dalam ujian Penilaian Tingkatan Tiga (PT3).
"SMKKL adalah sekolah yang dibantu UniMAP ketika menghadapi banjir pada tahun lepas dan saya berbangga, walaupun ditimpa bencana besar pada penghujung 2014, namun berjaya menunjukkan prestasi yang baik dalam PT3", beliau bercakap demikian pada majlis perhimpunan SMK Kampung Laut.
Turut hadir , Ketua Sektor Akademik Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tumpat, Alias Ismail dan Pengetua SMK KL, Puan Jamari Othman serta lebih 1,000 pelajar dan guru sekolah berkenaan.
Pada majlis itu, UniMAP turut menyumbangkan sumbangan berbentuk wang tunai kepada pelajar yang cemerlang dalam akademik.