- Kategori: BERITA - Malay
UniMAP Terima Lawatan Penandarasan SMSTSP
PAUH PUTRA 22 Januari- Kira-kira 80 orang guru dan kakitangan Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Kangar telah mengadakan kursus dalam perkhidmatan dan lawatan penandarasan ke Universiti Malaysia Perlis baru-baru ini.
Rombongan yang diketuai pengetuanya, Adnan Harun disambut oleh Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof.Emeritus Dr. Kamarudin Hussin.
Menurut Adnan, lawatan tersebut bertujuan untuk memberi pendedahan kepada guru dan kakitangan mengenai corak kerja yang diamalkan UniMAP.
Menurutnya, walaupun UniMAP sebuah universiti muda, namum kecekapan Naib Canselornya dalam menguruskan universiti menyebabkan UniMAP mampu bergerak seiring bersama universiti awam lain di negara ini.
Sementara itu, Naib Canselor UniMAP ketika dalam ucapannya berkata, UniMAP sentiasa memberi sokongan penuh dan bersedia memberi tunjuk ajar kepada sekolah-sekolah dinegeri ini yang menunjukkan minat dalam bidang kejuruteraan.
Katanya, kewujudan seperti "Young Engineer Club" di sekolah dilihat menjadi pentas pertama selain dapat mengcukil minat pelajar dalam alam kejuruteraan.
Rombongan tersebut dibawa melawat perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Galeri PPK Pembuatan dan Litar Go Kart UniMAP.
Mereka turut meninjau Smart Green House Harumanis dan Kampus Uniciti Alam Sungai Chuchuh yang telah dibangunkan bersama syarikat swasta dan menjadi ikon di peringkat KPT.
Selain itu, guru-guru dan kakitangan sekolah itu diperkenalkan dengan perpustakaan Hub Digital yang merupakan perpustakaan termoden.
Perpustakaan tersebut beroperasi dengan menggunakan teknologi terkini tanpa menggunakan buku bercetak.