- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
HUB A-HEART Sediakan Kemudahan Pendidikan Anak Istimewa
Pauh Putra, 25 Januari – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menganjurkan Program Meraikan Kecemerlangan Bakat Anak-anak Istimewa bagi mengetengahkan inisiatif dalam menjana bakat anak-anak istimewa di negeri ini, hari ini.
Program inisiatif daripada Hub Sumber Pendidikan dan Latihan Autisme (A-Heart) itu bukan sahaja mensasarkan anak-anak autisme tetapi semua anak-anak istimewa pelbagai kategori di wilayah utara khususnya negeri Perlis.
Naib Canselor UniMAP, Brig Jen. Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin berkata selain mengetengahkan bakat anak-anak istimewa, program kali ini turut memperkenalkan hub A-Heart dan kad keahlian Hub A-Heart.
Katanya, sepanjang 2015 aktiviti pendidikan anak-anak istimewa agak terbatas kerana terpaksa menggunakan Surau UniMAP buat sementara waktu namun pada awal tahun ini, Hub A-Heart mula digunakan sepenuhnya di Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP).
“Hub ini ditubuhkan khas bagi menyediakan ruangan agar proses penawaran sumber dan penganjuran aktiviti pendidikan untuk anak-anak istimewa ini dapat dijalankan dengan lebih aktif,” katanya ketika berucap di program berkenaan.
Turut berkenan berangkat hadir ke program itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor UniMAP yang juga penaung diraja A-Heart.
Hadir sama Pengerusi PISKANITA UniMAP, Datin Noridah Yangman.
Menurut Dr Kamarudin, kad keahlian hub A-Heart pula diperkenalkan untuk memberi keistimewaan kepada anak-anak serta ibu bapa atau penjaga anak-anak istimewa itu mengunjungi PTSFP.
“Kad keahlian ini memberi peluang kepada anak-anak istimewa dan penjaga mereka mengunjungi PTSFP untuk menggunakan kemudahan yang disediakan seperti pinjaman buku, peralatan mainan ilmiah, ruang permainan dan ruang tayangan.
“Pendek kata, melalui A-Heart UniMAP komited merangka pelbagai program untuk menjayakan A-Heart sekaligus memberi peluang anak-anak istimewa ini menggilap bakat mereka,” katanya.
Selain program berkenaan turut diadakan pameran lukisan The Exploration Journey : An Art Exhibition yang dihasilkan anak istimewa, Kirtanraw Subramanian.
Bagi ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak-anak istimewa ingin mendapatkan keahlian kad Hub A-Heart itu boleh menghubungi talian 04-9885402 atau emel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..