- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Pameran Lukisan Remaja Autism Bukti Bakat Anak Istimewa
Pauh Putra, 25 Januari – Hub Sumber Pendidikan dan Latihan Autisme (A-HEART) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah mengadakan pameran lukisan dengan tajuk The Exploration Journey : An Art Exhibition by Kirtantaw Subramanian di sini, hari ini.
Pameran berkenaan membuktikan bahawa anak-anak istimewa khususnya autisme mempunyai bakat mereka tersendiri sekalipun mereka berbeza daripada anak-anak normal yang lain.
Naib Canselor UniMAP, Brig Jen Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin berkata pameran yang diadakan di galeri Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) bertujuan meningkatkan kesedaran dan keprihatinan warga UniMAP dan masyarakat Perlis terhadap bakat golongan autism.
“Pameran hari ini mengetengahkan bakat remaja autisme iaitu Kirtanraw Subramnian yang berjaya menghasilkan 60 lukisan meliputi abstrak dan gambaran sebenar.
“Selain itu, objektif utama pameran ini adalah bagi meningkatkan motivasi ibu bapa, keluarga dan masyarakat mengenai bakat anak-anak istimewa sekaligus mendorong mereka sentiasa menyokong penuh setiap bakat yang dimiliki anak-anak ini,” katanya selepas Program Meraikan Anak-anak Istimewa di Auditorium PTSFP.
Turut berkenan berangkat hadir ke program berkenaan ialah Raja Puan Muda Perlis Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor UniMAP dan juga penaund diraja A-HEART.
Kirtanraw,22, yang berasal dari Sungai Petani Kedah mula berjinak-jinak dengan lukisan sejak berusia tujuh tahun yang meminati kaedah lukisan lakaran pensil seta lukisan berasaskan minyak.
Sehingga kini, Kirtanraw berjaya menghasilkan hampir 100 lukisan pelbagai saiz dan kebanyakan lukisannya dihasilkan daripada imaginasinya sendiri.
Antara program pameran yang mempamerkan lukisan karya Kirtanraw samada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa ialah Solo Exhibition Theme Exploration 2014 di Pulau Pinang, Art Exhibition 2014 di Sungai Petani Mall, Art Exhibtion 2013 di Blackwood Cafe Sungai Petani, Animals Kingdom Art Exhibition 2013, Vetri Festival of Art Exhibition 2015 di Pondichery India dan Art Exhibition di Solaris Publika Dutamas White Box 2015.
Lukisan-lukisan yang dipamerkan ini juga sedia dijual kepada para pengunjung.