- Kategori: BERITA - Malay
UniMAP Promosi Bidang Kejuruteraan
JELI 29 Januari- Kearah menjadikan pengajian kejuruteraan sebagai pilihan utama, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus komited dalam mempromosikan bidang tersebut di kalangan pelajar terutama pelajar sekolah.
Naib Canselor UniMAP Brig. Jen. Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin berkata, bidang kejuruteraan mampu menawarkan lebih banyak pekerjaan kepada graduan.
“Sekarang ini, bidang kejuteraan bukan sahaja dimonopoli oleh golongan lelaki, namun terdapat juga ramai jurutera wanita yang bekerja di syarikat-syarikat besar”.
“Kaedah promosi dari sekolah ke sekolah memberi peluang kepada UniMAP untuk mengetengahkan keunikan dan keistimewaan pelbagai program pengajian yang ditawarkan.” katanya ketika dalam ucapannya sempena Program Tambatan Ilmu 2016 bersama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Balah di Jeli, baharu-baharu ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Balah, Datuk Abdul Aziz Derashid dan Pengetua SMK Kuala Balah, Hashim Ismail.
Ujar Datuk Kamarudin lagi, usaha itu adalah seiring dengan komitmen UniMAP untuk memupuk minat pelajar sekaligus melahirkan lebih ramai graduan dalam bidang kejuruteraan.
Program anjuran Institut Kajian Strategik, Kepimpinan dan Komuniti (IKSK) turut melibatkan penyertaan dari Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP.
Sementara itu, pada majlis sama, UniMAP menerusi tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) turut menyumbangkan teknologi solar panel di sekolah tersebut.
Terdahulu, UniMAP turut menyumbangkan teknologi sama kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Laut di Tumpat.
SMK Kampung Laut merupakan sekolah angkat yang dibantu UniMAP ketika menghadapi bencana banjir besar pada tahun lepas.
Ujar kamarudin, kos pemasangan teknologi itu akan ditanggung dua pusat pengajian kejuruteraan (PPK) di UniMAP iaitu Sistem Elektrik dan Mikroelektronik.