A+ A A-

UiTM Perlis, UniMAP ambil inisiatif
ajar bahasa Melayu di Thailand

PHUKET 31 Jan. – Kerana ingin melihat bahasa Melayu kembali berkembang dan menjadi 'lingua franca' di nusantara seperti dahulu, dua buah universiti awam di Perlis tampil mengambil inisiatif untuk mengajar bahasa itu di dua buah sekolah di daerah ini dan Phang-Nga.

Kedua-dua daerah itu merupakan antara 15 wilayah Andaman terletak di selatan negara ini yang sudah tidak lagi menggunakan bahasa Melayu sebagai pertuturan.

Dipisahkan oleh jarak perjalanan sejauh lebih 500 kilometer tidak menghalang kedua-dua buah universiti terbabit iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) untuk menjayakan hasrat tersebut.

Berikutan itu, UiTM Cawangan Perlis telah menjadikan Sekolah Muslim Wittaya di sini sebagai sekolah angkat manakala UniMAP pula Sekolah Fahad Wittaya di Phang-Nga.

Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM Cawangan Perlis, Zailuddin Ariffin berkata, buat permulaan, seramai lima orang pensyarah dari Akademi Pengajian Bahasa universiti itu dihantar ke Sekolah Muslim Wittaya untuk mengajar 30 orang guru bahasa selama lima hari bermula 27 Disember tahun lalu.

“Kami menggunakan kaedah pengajaran tidak formal dan apa yang mengejutkan guru-guru di sini mampu belajar bahasa Melayu walaupun ada yang tidak mempunyai asas.

“Antara kaedah yang digunakan adalah kamus bergambar, permainan Sahibba, poster dan nyanyian lagu-lagu Melayu,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian program pembelajaran bahasa Melayu yang dirasmikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Sekolah Muslim Wittaya, semalam.

Berangkat sama ke program yang turut mendapat kerjasama daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istidat Melayu Perlis (MAIPs) itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Pada program itu para hadirin dihiburkan dengan nyanyian lagu 'Rasa Sayang Eh' dan 'Kalau Rasa Gembira' oleh pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah dengan baik.

Zailuddin seterusnya memberitahu, pihaknya mendapat kerjasama erat daripada pengurusan sekolah yang sudah menetapkan dua jam sesi pembelajaran bahasa Melayu seminggu oleh empat orang guru.

Katanya, itu merupakan satu perkembangan positif dan pihaknya merancang melanjutkan program tersebut dengan membawa guru dan pelajar sekolah itu ke Perlis untuk belajar bahasa Melayu.

“Kami rasa gembira kerana penduduk Islam di sini berminat mempelajari bahasa Melayu dan sudah tentu dapat menjalin hubungan lebih erat sesama Islam,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Bahasa dan Antarabangsa UniMAP, Prof. Dr. Harshita Aini Harun berkata, pihaknya juga menggunakan konsep sama dengan beberapa orang pensyarah telah dihantar ke Sekolah Fahad Wittaya untuk me­ngajar guru-guru sekolah itu bahasa Melayu, baru-baru ini.

“Ini merupakan pertama kali pensyarah kita mengajar bahasa Melayu sebagai bahasa kedua kerana penduduk di sini sebahagian besar tidak boleh bertutur dalam bahasa ini,” katanya.

- Utusan Malaysia

 

UiTM Perlis

UiTM Perlis

UiTM Perlis

UiTM Perlis

UiTM Perlis

UiTM Perlis

UiTM Perlis

UiTM Perlis

UiTM Perlis

UiTM Perlis

UiTM Perlis

UiTM Perlis