- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
5,000 Kunjungi Booth UniMAP
ALOR SETAR 30 Januari – Kira-kira 5,000 pengunjung hadir memenuhi ruang pameran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sepanjang dua hari penganjuran Karnival Pendidikan Tinggi Negara 2016 "Jom Masuk IPT" di Perkarangan Stadium Darul Aman, baharu-baharu ini.
Pengerusi Sekretariat Promosi UniMAP, Prof. Madya Dr. Rizalafande Che Ismail berkata, penganjuran karnival sepanjang dua hari itu dapat memberi ruang buat institut pengajian tinggi dalam mempromosi dan memberi info terkini kepada pelajar khususnya di bahagian utara semenanjung.
"Melalui program karnival ini, pelajar lepasan SPM/STPM/Matrikulasi dan lepasan Diploma dapat menerima maklumat yang tepat mengenai peluang-peluang ke pengajian tinggi dan dengan itu, mereka boleh membuat pilihan yang sesuai.
“Selain itu, ia juga membolehkan UniMAP dapat bertemu dan berbincang secara terus dengan bakal pelajar mengenai program pengajian yang bakal mereka ikuti serta membantu membimbing pelajar dalam mengenalpasti peluang dan strategi memilih program pengajian di dalam sistem UPU berdasarkan kepada keputusan peperiksaan akhir yang diperolehi,”katanya ketika ditemui pada Karnival Pendidikan Tinggi Negara 2016 "Jom Masuk IPT".
Beliau yang juga Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mikroelektronik UniMAP itu berkata, UniMAP kini menawarkan 21 program di dalam bidang kejuruteraan, 14 program Teknologi Kejuruteraan, dua program perniagaan dan satu program sains komunikasi.
“UniMAP juga bakal memperkenalkan program baru bagi sesi pengambilan bermula tahun ini iaitu Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia (Teknologi Makanan).
“Ia bertepatan dengan lonjakan keempat PPPM (PT) iaitu 'Graduan TVET Berkualiti', UniMAP sebagai salah satu penyedia program TVET sudah pasti ingin menawarkan peluang pengajian dalam bidang ini kepada pelajar menerusi konsep pengajaran dan pembelajaran yang digunapakai oleh UniMAP” katanya lagi.
Majlis perasmian karnival tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Idris Jusoh. Turut hadir, Naib Canselor UniMAP Brig. Jen. Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin.
Karnival yang bermula 30 Januari hingga 3 April 2016 di enam zon seluruh negara itu bermula di Kedah dan seterusnya akan berakhir di Selangor.
Ia melibatkan pelbagai agensi berkaitan pendidikan tinggi seperti 20 Universiti Awam, Jabatan Pendidikan Politeknik, Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti, Institusi Pengajian Tinggi Swasta dan lain-lain agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.