A+ A A-

UniMAP Tubuh Libyan Arabic International School

5 Februari – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengambil inisiatif menubuhkan UniMAP Libyan Arabic School khusus untuk membolehkan anak-anak warga Libya yang berada di Perlis mendapat pendidikan masing-masing.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin berkata, idea asal penubuhan sekolah swasta tersebut dicetuskan setelah melihat perlunya ada kemudahan untuk pembelajaran anak-anak staf dan pelajar antarabangsa di UniMAP.

“Ia juga merupakan sebahagian tanggungjawab sosial kami di UniMAP apatah lagi pelajar dan staf dari Arab yang datang ke Perlis sebahagian besarnya membawa anak-anak mereka.

“Memandangkan tiada sekolah antarabangsa di Perlis dan sekolah yang terdekat adalah di Kedah, maka idea menubuhkan UniMAP Libyan Arabic School adalah yang terbaik,” ujar beliau ketika berucap di majlis pelancaran sekolah tersebut di sini semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal, Penolong Naib Canselor Komunikasi Korporat, Datin Prof. Dr. Zuraidah Mohd. Zin dan Pengarah Pusat Perhubungan Antarabangsa, Dr. Noorhafiza Mohamed.

UniMAP Libyan Arabic School akan menawarkan sembilan gred pengajian untuk anak-anak berusia antara lima hingga 16 tahun.

Dalam pada itu, Pengetua UniMAP Libyan Arabic School, En. Issa Alabiad memaklumkan bahawa sekolah yang menggunakan sistem dan kurikulum yang diiktiraf oleh kerajaan Libya ini akan mula beroperasi pada 15 Februari 2016. 

Ujar beliau, anak- anak warga Libya yang bersekolah di sini akan mendapat bantuan kewangan sepenuhnya dari kerajaan Libya dengan kekuatan 18 tenaga pengajar yang kesemuanya adalah penutur asli bahasa arab.

“Kita menjangkakan seramai 30 orang pelajar yang terdiri daripada anak-anak staf dan pelajar antarabangsa di UniMAP terutama dari  negara Libya, Yemen dan  Iraq akan mendaftar dan jumlah ini akan bertambah dari semasa ke semasa.

“Kami amat bersyukur dengan keprihatinan Naib Canselor dan Pengurusan UniMAP dengan penubuhan sekolah ini, dan saya menjangkakan lebih ramai pelajar warga Libya, Arab dan Yemen akan memilih UniMAP sebagai institusi pendidikan tinggi pilihan mereka,” ujar beliau.

Beliau menambah, pihaknya juga dalam perancangan untuk membuka kelas bahasa arab kepada anak-anak staf tempatan di UniMAP dan menawarkan kursus bahasa arab kepada staf UniMAP yang berminat untuk mempelajari bahasa arab.