- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Kem Tahunan Kor Suksis UniMAP Uji Ketahanan Mental Dan Fizikal Anggota
Kuala Terengganu,11 Februari: Seramai 190 Anggota Kor Sukarawan Polis Siswa / Siswi (Suksis) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengikuti Kem Tahunan Kor Suksis di Terengganu baharu-baharu ini.
Pegawai Penyelaras Kor Suksis UniMAP, Asisten Superintendent Che Yob Pin berkata, kem yang berlangsung selama seminggu itu menumpukan tiga modul iaitu Kursus Etika dan Pengurusan Integriti Polis Diraja Malaysia ,Kursus Asas Pertolongan Cemas dan Kursus Asas Modul Pengenalan Pasukan Gerakan Am (PGA).
“Ketiga-tiga modul ini dibahagikan mengikut tahap anggota iaitu Junior, Inter dan Senior.
“Ia bertujuan bagi memberi pendedahan awal kepada semua Anggota Kor Suksis UniMAP dalam segenap aspek berdasarkan kepada peningkatan tahap kekananan anggota dalam Kor Suksis,”katanya ketika ditemui di Kem PGA Batalion 9, Gong Badak, di sini.
Ujar beliau lagi, semua modul itu amat berguna kepada semua anggota Suksis terutamanya kepada anggota yang bercadang untuk meneruskan khidmat dalam pasukan keselamatan.
“Ilmu yang didedahkan kepada mereka ini adalah sama seperti yang dilalui oleh bakal Inspektor dan kemahiran pertolongan cemas sebagai tambahan apabila menghadapi situasi cemas khususnya kemalangan yang melibatkan kecederaan dan kemalangan jiwa termasuk bencana alam.
“Manakala modul terakhir yang dilalui mereka adalah ilmu pertahanan, pertempuran dan ikhtiar hidup di medan peperangan dengan mengikuti sepenuhnya aktiviti di dalam hutan,”katanya lagi.
Majlis Perasmian Penutup Kem Tahunan Suksis disempurnakan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Perlis, Supritendan V Raja Vadivelo yang mewakili Ketua Polis Perlis.
Turut hadir, Timbalan Komandan Kor SUKSIS UniMAP, Supritendent Kehormat Prof. Madya Dr. Khairul Nizar Ismail, Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA, Superintenden Mohd Abduh Ismail, dan Pegawai Latihan Luar Kor Suksis UniMAP, Asisten Superintendent Kor Suksis, Raja Shah Erman Raja Arifin.