A+ A A-

Naib Canselor Pertama UniMAP Bersara

Pauh Putra, 10 Februari  – Naib Canselor pertama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Brig. Jen. Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin menamatkan kontrak setahun beliau sebagai Naib Canselor sekaligus mencipta rekod paling lama dalam jawatan.

Beliau yang telah bersara wajib sebagai penjawat awam pada 10 Februari tahun lalu menyandang jawatan tersebut selama 14 semenjak 16 Februari 2002.

Dr Kamarudin sebelum ini adalah rektor ketika awal penubuhan universiti itu yang dikenali sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) yang kemudiannya menjadi Naib Canselor selepas KUKUM dinaiktaraf sebagai universiti awam (UA) ke-17 dengan nama UniMAP sehingga hari ini.

Dr Kamarudin yang turut menyambut hari lahir ke 61 tahun pada hari ini diraikan dalam sebuah majlis perpisahan sempena persaraan beliau sebagai Naib Canselor yang dihadiri seluruh kakitangan UniMAP, pelajar pengajian Diploma serta pelajar antarabangsa di Dewan Ilmu UniMAP, di sini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Astronaut Technology Sdn Bhd (ATSB), Dato’ Dr Ahmad Sabirin Arshad dan barisan pengurusan tertinggi UniMAP.

Dr Kamarudin berkata walaupun selepas ini beliau bukan lagi Naib Canselor UniMAP,beliau melahirkan harapan agar segala perancangan yang dirancang sebelum ini dapat direalisasikan agar UniMAP terus cemerlang dalam pelbagai aspek.

“Mulai tahun ini kita akan memulakan gerak kerja baru bagi strategi 2016-2020 dengan banyak inisiatif yang dicadangkan. Inisiatif jika kekal sebagai cadangan tidak akan membawa universiti ini ke mana-mana. Usahakanlah.

“Justeru, saya berharap kepemimpinan baru UniMAP akan meneruskan segala agenda strategik yang telah diusahakan mahupun dirancang dengan membantu UniMAP menjana kewangan serta memastikan nama UniMAP sentiasa segar dan masyhur di persada antarabangsa,” kata beliau ketika menyampaikan amanat terakhir di sini, hari ini.

Beliau turut melahirkan rasa penghargaan kepada Canselor UniMAP, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Pro Canselor UniMAP, Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta kerajaan negeri Perlis kerana memberi kepercayaan kepada beliau untuk sama-sama membangunkan negeri Perlis menerusi pembangunan UniMAP.

Kecemerlangan Dr Kamarudin sebagai Naib Canselor terus diiktiraf apabila Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh melantik Dr Kamarudin sebagai Penasihat Khas beliau di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mulai 11 Februari 2016.

Dr Kamarudin melakukan 'clock out' terakhir sebagai Naib Canselor disaksikan barisan pengurusan tertinggi UniMAP di pejabat Naib Canselor Pauh Putra.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Dato' Zul Azhar Zahid Jamal menyampaikan cenderahati kepada Datuk Kamarudin sambil disaksikan barisan EXCO UniMAP.

Dr Kamarudin bersama isteri, Noridah Yangman diarak oleh anggota Jabatan Keselamatan UniMAP sempena persaraan beliau sebagai Naib Canselor UniMAP di Kampus Tetap Pauh Putra.