- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Lawatan Kerja USIM ke UniMAP
Pauh Putra, 3 Februari – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengadakan lawatan penanda aras ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini, hari ini.
Delegasi terdiri daripada 26 orang itu diketuai Naib Canselornya, Dato’ Prof Dr Musa Ahmad bersama semua pengurusan tertinggi USIM termasuk dekan-dekan disambut oleh Naib Canselor UniMAP, Brig Jen Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin serta pihak pengurusan tertinggi UniMAP ketika tiba di Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP).
Delegasi berkenaan diberi taklimat korporat oleh Dr Kamarudin sebelum dibawa melawat PTSFP yang menjadi kebanggaan warga UniMAP, seterusnya ke Sungai Chuchuh bagi melihat projek tanaman harumanis di Institut Agroteknologi Lestari (INSAT) UniMAP serta Kampus Uniciti ALAM.
Dr Kamarudin berkata warga UniMAP amat mengalu-alukan kedatangan delegasi USIM ke UniMAP dan berharap jalinan kerjasama bagi memantapkan kedua-dua universiti dapat dijalinkan bersama pada masa akan datang.
“USIM dan UniMAP adalah antara universiti muda di negara ini, justeru pihak UniMAP amat mengalu-alukan sebarang usahasama yang dapat dicapai antara kedua-dua universiti ini bagi memantapkan lagi pencapaian USIM dan UniMAP sendiri,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan di Auditorium PTSFP, di sini.
Delegasi USIM turut diraikan dalam sebuah majlis santai di Rumah Tamu UniMAP di Kampung Kurung Tengar pada sebelah malam di samping mengadakan perbincangan bagi meningkatkan pencapaian kedua-dua universiti.