- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Universiti Awam Disaran Bangunkan Kemudahan Melalui Sistem Wakaf
Pattani, 15 Februari: Semua Universiti Awam (UA) disarankan untuk membangunkan kemudahan dan prasarana universiti dengan menggunakan dana yang diwakafkan pihak luar.
Penasihat Khas kepada Menteri Pengajian Tinggi, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin berkata, selain dari memberikan orang ramai dan organisasi untuk membuat kebajikan, ia juga dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan.
“Saya melihat dana wakaf ini bukan saja boleh digunakan untuk pembinaan bangunan semata-mata, tetapi ia boleh diperluaskan dengan pembinaan makmal-makmal untuk tujuan penyelidikan.
“Saya percaya melalui cara ini, lebih banyak manfaat akan dapat dikongsi untuk kebaikan semua golongan masyarakat,”katanya ketika ditemui semalam lawatan ke University Fattoni, di sini,semalam.
Ujar Datuk Kamarudin lagi, beliau amat kagum dengan cara pembangunan kampus yang dilakukan pihak University Fattoni yang menggunakan dana wakaf dari negara-negara luar dan orang perseorangan.
“Kita seharusnya mempromosikan konsep wakaf untuk membangunkan institusi pengajian tinggi, seperti yang dilakukan University Fattoni untuk manfaat masyarakat setempat,”katanya yang juga mantan Naib Canselor UniMAP.
Terdahulu, beliau mengiringi Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menerima Ijazah Doktor Kehormat Sains Pengurusan dari Yala Rajabhat University dalam satu istiadat konvokesyen khas di universiti itu di sini.
Turut bercemar duli berangkat hadir Pro Canselor UniMAP, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.