- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Dato' Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal Memangku Jawatan Naib Canselor UniMAP
Arau, 18 Februari - Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar dilantik bagi menjalankan fungsi sebagai Naib Canselor berkuatkuasa 11 Februari lalu sehingga Naib Canselor UniMAP baharu dilantik.
Lantikan itu dinyatakan melalui surat yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) selepas Naib Canselor pertama universiti tersebut, Brig. Jeneral Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin tamat kontraknya pada 10 Februari lalu pada usia 61 tahun iaitu setahun selepas bersara wajib dari perkhidmatan awam.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, kecemerlangan UniMAP adalah seiring dengan kecemerlangan perkhidmatan mantan Naib Canselor UniMAP sehingga khidmatnya itu telah melayakkan beliau menjadi Naib Canselor paling lama di Malaysia memegang jawatan tersebut iaitu selama 14 tahun.
“Malah khidmat beliau masih diperlukan sehingga dilantik menjadi Penasihat Khas kepada Menteri KPT,” titah baginda.
Oleh itu, baginda inginkan kecemerlangan UniMAP diteruskan walaupun sesiapa jua yang memegang tampuk pentadbiran UniMAP kelak.
“Walaubagaimanapun dengan masa yang masih berbaki ini, saya berharap Prof. Zul Azhar dan pengurusan memanfaatkan dengan sebaiknya untuk meneruskan kerja-kerja pembangunan UniMAP yang masih belum selesai,” titah baginda semasa sesi perbincangan tertutup bersama pengurusan tertinggi UniMAP di Istana Arau, semalam.
Baginda juga berharap halatuju yang telah digariskan untuk pemantapan UniMAP tidak akan tersasar walaupun UniMAP kini sedang melalui proses peralihan kuasa pentadbirannya.
Sementara itu, Prof. Zul Azhar berjanji akan tetap meneruskan kerja-kerja yang dimulakan oleh mantan Naib Canselor UniMAP malah akan turut memperkasakan sesetengah aspek pembangunannya.
“Saya dan pihak pengurusan komited untuk meneruskan usaha bagi memantapkan UniMAP sekaligus memastikan halatuju yang telah kita gariskan sebelum ini tidak tersasar.
“Malah dengan sokongan padu warga UniMAP, insyaAllah segala perancangan ini akan berjaya dilaksanakan,” katanya.