A+ A A-

UniMAP Kekal Kejuaraan Di MTE 2016

Kuala Lumpur, 20 Februari  – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)  berjaya mengekalkan kejuaraan buat kali keempat berturut-turut selepas meraih tujuh pingat emas pada Malaysia Technology Expo (MTE) 2016.

Dekan Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi UniMAP, Prof. Dr. Syed Alwee Al Junid Syed Junid berkata, kejayaan 100 peratus yang diraih UniMAP mengulangi pencapaiannya tiga tahun lalu.

“Kita mengulangi kembali kejayaan yang diperolehi pada 2012 dan 2013 dengan meraih pencapaian 100 peratus apabila semua 26 produk yang dipertandingkan berjaya membawa pulang pingat.

“Lebih manis lagi, dua produk yang mendapat pingat emas turut meraih Best Award iaitu Novel Hydroxyapatite (HAP) Nanoparticles Production By Supercritical Carbon Dioxide Processing For Drug Delivery Application hasil penyelidikan Dr Midhat Nabil Ahmad Salimi dan A Non-Invasive Cervical Cancer Detection Kit, produk penyelidikan Prof. Dr. Uda Hashim,”katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Hadiah MTE 2016, di Pusat Dagangan Dunia Putra, sini semalam.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Presiden Persatuan Saintis Penyelidikan Malaysia (MARS), Dr. Wan Manshol Wan Zin.

Ujar Dr. Syed Alwee lagi, lima lagi  produk yang memenangi pingat emas adalah Unisense: Internet Of Things For Multi-Sensing hasil penyelidikan Dr. Latifah Munirah Kamarudin, Anti-THPRO: A Novel Invention For Anti-Thief And Heat Insulator For Electronic Devices, produk Dr. Ragunathan  Santiagoo; Geo-Sure-Grip High Performance Tile Grout, (Dr. Liew Yun Ming); CHICMON: System For Monitoring Early Signs Of Animal Ill-Health In Chicken Farm (Prof. Madya Dr. Abu Hassan Abdullah) dan Wireless Power (Dr. Syafruddin Hasan).

“Selain dari tujuh pingat emas ini, penyelidik UniMAP juga turut membawa pulang tujuh pingat perak dan 12 pingat gangsa,”katanya lagi.

Sementara itu, pada majlis yang sama, Mantan Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin turut menerima The MARS Service Award di atas sumbangan beliau yang sentiasa aktif dalam membantu dan mempromosikan produk-produk yang dihasilkan penyelidik.

MTE 2016 yang berlangsung pada 18 hingga 20 Februari merupakan ekspo penyelidikan tahunan anjuran MARS. Ia mempertandingkan lebih 300 produk dari dari kolej, politeknik, universiti dan sekolah dari dalam dan luar negara.