- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
UniMAP Terima Zakat RM130 Ribu
Kangar, 23 Februari – Isu pelajar lapar pernah menjadi viral di dada akhbar dan laman sosial yang menarik perhatian pelbagai pihak tidak pernah dipandang remeh oleh setiap lapisan masyarakat termasuklah pihak agensi perbankan.
Atas kerpihatinan itu, dua buah institusi perbankan mengambil inisiatif untuk menyerahkan sumbangan zakat berjumlah RM130,000 kepada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bertujuan bagi membantu pelajar kurang berkemampuan.
Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, dua agensi perbankan itu adalah Affin Islamic Bank Berhad dan Bank Islam (M) Berhad, yang masing-masing menyerahkan sejumlah zakat bernilai RM30 ribu dan RM100 ribu
“Wang zakat ini akan disalurkan ke Tabung Zakat UniMAP dan diagihkan kepada pelajar yang memenuhi syarat kelayakan untuk menerima wang bantuan tersebut.
“Jumlah bantuan yang akan diberikan adalah mengikut keperluan para pelajar dengan pemberian minimum adalah sebanyak RM300.00 dan maksimum RM1000.00 serta layak untuk dua kali penerimaan sepanjang tempoh pengajian mereka,” katanya.
Prof. Zul berharap agar pihak perbankan dan agensi lain akan terus-menerus menyalurkan sumbangan kepada universiti sekaligus membantu universiti menjaga kebajikan pelajarnya yang kurang berkemampuan.
“UniMAP komited dalam membantu pelajar agar mereka ini dapat meneruskan pembelajaran serta tidak menjadikan faktor kemiskinan sebagai halangan,” katanya.