- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
‘THE FUTURE: FAST FURIOUS AND FISHY’ Kongsi Topik Penyelidikan Bidang Akuakultur
Pauh Putra, 19 Februari – Majlis Profesor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menganjurkan seminar perkongsian penyelidikan bidang akuakultur serta perikanan air tawar, air payau dan air masin di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PSFP), di sini hari ini.
Seminar bertajuk The Future: Fast Furious and Fishy yang dibentangkan Pensyarah dan Penyelaras Unit Akuakultur, Prof Dr Ridzwan Abdul Rahman itu turut berkongsi berkenaan bidang yang dapat disumbangkan oleh UniMAP bagi bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) menerusi Jabatan Perikanan Malaysia.
Antara bidang itu ialah akuakultur, perikanan, tangkapan, ekologi akuatik, bioteknologi, kesihatan ikan dan pembangunan produk perikanan.
Menurut Dr Ridzwan, antara topik penyelidikan bagi bidang akuakultur termasuklah teknologi penambaikan sistem-sistem ternakan, sistem pengurusan pembiakan, teknik pembiakan aruhan, pembenihan dan penggandaan baka.
“Selain itu, teknologi lain seperti teknologi pemprosesan makanan, formulasi makanan menggunakan protein alternatif, pembangunan pusat nukleus, teknik diagnosis penyakit-penyakit orgasma ternakan serta sistem ternakan dalam sangkar laut juga dapat dijadikan sebagai topik penyelidikan.
“Pendek kata banyak penyelidikan boleh dilakukan UniMAP dalam bidang berkaitan akuakultur ini sekaligus mampu menjadikan UniMAP sebagai pusat penyelidikan terbaik mengenai bidang ini, “katanya.
Seminar berkenaan turut dihadiri ketua-ketua jabatan UniMAP serta hampir 100 pelajar yang berpotensi menjalankan penyelidikan itu.