A+ A A-

Yayasan Tuanku Fauziah Taja Lima Siswazah Ikuti Program Di Jepun

ARAU, 29 Feb (Bernama) -- Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) memperuntukkan RM350,000 untuk menaja lima siswazah mengikuti Program Kepimpinan Wanita di Universiti Antarabangsa Josai (JIU) di Jepun selama setahun bermula 3 April depan.

Surat tawaran biasiswa itu oleh disampaikan oleh Presiden YTF Raja Puan Muda Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil kepada lima siswazah berkenaan pada majlis di Galeri Diraja Arau di sini, hari ini.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) turut berkenan berangkat ke majlis itu.

Tiga daripada penerima biasiswa adalah daripada UniMAP iaitu Lim Xin Shi, 25, dari Johor dan Khuzaimah Ramli@Lahman, 25, dari Kedah yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa dan Nurul Najwa Halim, 23, dari Kedah, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Sains Biosistem.

Dua lagi daripada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) iaitu Nor Salihah Zaini, 24, dari Perak, graduan Ijazah Kejuruteraan Mekanikal Termal Cecair dan Nurul Afizan Yaakob, 24, dari Selangor, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan.

Pemegang Amanah YTF Tan Sri Dr Ng Yen Yen berkata program itu bertujuan untuk melahirkan pemimpin muda wanita yang mempunyai jati diri yang unggul.

"YTF jalinkan kerjasama strategik bersama JIU ini selama lima tahun dan setiap tahun kami akan hantar lima graduan wanita yang berpotensi dalam bidang kepimpinan mulai tahun ini," katanya.

Dr Ng berkata mereka akan berpeluang menimba pengalaman baharu daripada aspek gaya hidup, kebudayaan, persekitaran di bandar dan luar bandar, serta kehidupan seharian di Jepun selain berinteraksi dengan pelajar dari 27 negara di JIU.

Sementara itu, Lim berkata dia sanggup berhenti kerja sebagai Eksekutif Pemasaran di Singapura memandangkan peluang yang ditawarkan oleh YTF hanya datang sekali seumur hidup.

"Saya bersyukur kerana terpilih ... saya berjanji akan menggunakan sebaik-baiknya peluang ini untuk memperkenalkan Malaysia di samping mengutip sebanyak pengalaman di sana untuk dilaksanakan sebaik kami pulang ke Malaysia," katanya.


-- BERNAMA