A+ A A-

Mahasiswa UniMAP Calon Tunggal Dari Malaysia Terima Biasiswa IEEE MTT-S

Kangar, 15 Mac – Mahasiswa tahun akhir program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perhubungan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menjadi calon tunggal dari Malaysia yang terpilih menerima bantuan biasiswa “Institute of Electrical and Electronics Engineers Microwave Theory and Techniques Society (IEEE MTT-S) khusus untuk pelajar ijazah pertama bagi tahun 2016.

Lebih membanggakan, Muhammad Adam Hamidon, 24, yang berasal daripada Selangor juga merupakan pelajar Malaysia pertama yang terpilih sebagai penerima biasiswa tersebut yang mula ditawarkan sejak tahun 2001 lalu, ujar Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.

Menurut beliau, kejayaan Muhammad Adam yang diperoleh menerusi laman web rasmi IEEE MTT-S, bakal menjadi suntikan semangat untuk mahasiswa UniMAP terus komited menghasilkan penyelidikan berimpak yang mampu menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

“Kemenangan ini satu petanda bahawa Projek Tahun Akhir yang dilaksanakan UniMAP bukan sahaja menepati criteria di peringkat antarabangsa, malah mampu menyumbang kepada masyarakat.

“Penerima-penerima biasiswa ini dipilih oleh pakar-pakar dalam bidang berkaitan dari seluruh dunia menerusi penilaian kertas cadangan projek masing-masing. Antara kriteria yang dinilai adalah dari aspek  keaslian kajian serta prospek mahasiswa tersebut menjayakan projek dalam masa yang ditetapkan,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

IEEE MTT –S merupakan satu jawatankuasa yang menghimpunkan pakar-pakar kejuruteraan dan teknikal dalam bidang teori dan aplikasi RF, mikkrogelombang, gelombang milimeter dengan keahlian melebihi 13,000 orang dari seluruh dunia.

Biasiswa tersebut dianugerahkan dalam dua fasa setiap tahun bertujuan untuk menarik minat pelajar-pelajar sarjana muda untuk meneruskan kerjaya atau menyambung pengajian keperingkat pasca-siswazah dalam bidang “radio frequency (RF)” serta mikrogelombang (microwave).

Muhammad Adam, terpilih sebagai penerima biasiswa melalui projek tahun akhirnya iaitu vest pemantauan tahap kesihatan untuk warga emas yang mana ia merupakan satu system pengesan parameter kesihatan bersepadu dalam format pakaian yang menggabungkan empat jenis pengesan.

Alat ini mampu mendapatkan bacaan data kesihatan daripada badan pemakainya dan menyimpannya di dalam pengkalan data dengan selamat yang man aia kemudiannya boleh dipantau oleh doktor, pakar kesihatan serta keluarga pesakit itu sendiri secara atas talian.

Projek tersebut yang diselia oleh Dr. Soh Ping jack dijangka siap pada bulan Mei 2016. Para pemenang biasiswa ini akan menerima sijil dan hadiah wang tunaisebanyak USD$1500 bagi menyempurnakan projek tersebut, selain turut secara automatik menerima keahlian pelajar IEEE dan MTT-S untuk tempoh setahun secara percuma.

Muhammad Adam turut menerima bantuan perjalanan bagi menghadiri the International Microwave Symposium (IMS) yang bakal diadakan di San Francisco, Amerika Syarikat yang akan diadakan secara serentak dengan penganugerahan biasiswa pada bulan Mei ini.