- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
271 SUKARELAWAN UniMAP Berbakti Di Perak
Kangar, 23 Januari 2015 – Seramai 271 mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berbakti sebagai sukarelawan pasca banjir menerusi program Inovasi Sosial 1Malaysia (InoS1M) – Pasca Banjir bermula 18 hingga 21 Januari di mukim Pasir Salak, baru-baru ini.
Menurut Ketua Operasi Pasca Banjir Perak yang juga merupakan Timbalan Dekan Pusat Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (iKOM) Dr. Hanum Hassan, kebanyakan sukarelawan yang terlibat adalah pelajar tahun satu yang baru selesai menduduki peperiksaan akhir semester satu bagi sesi pengajian 2014/2015.
“Tidak ketinggalan, operasi ini turut disertai pelajar tahun dua, tiga dan empat yang membersihkan Masjid Pulau Juar, Dewan Serbaguna Kampung Pulau Tiga Kiri, Gelanggang Futsal 1Malaysia, Gelanggang Sepak Takraw Pulau Tiga Kiri dan Loji Lembaga Air Perak,” katanya.
Mereka juga turut melakukan aktiviti pembersihan di Litar Datuk Sagor dan Pejabat Penghulu Alang Talib Mukim Pasir Salak.
“Komitment 100 peratus diterima daripada mahasiswa dan pihak berkaitan yang mempercepatkan proses pembersihan kawasan banjir ini.
Walaupun kerja pembersihan di Pejabat Penghulu Alang Talib Mukim Pasir Salak menemui kesukaran berikutan air yang bertakung perlu dikeringkan secara manual, namun kerja pembersihannya dapat juga dilaksanakan dengan cepat berikutan kerjasama jitu yang diterima daripada semua pihak,” katanya.
Program InoS1M yang pada asalnya adalah merupakan program baktisiswa dan anak angkat yang mewajibkan penyertaan pelajar tahun satu telah diubah pengisiannya kepada misi Operasi Pasca Bencana Banjir bagi membantu proses pembersihan kawasan banjir di empat negeri yang terlibat dalam bencana tersebut.
Manakala operasi Pasca Banjir ini pula adalah kesinambungan kepada misi sukarelawan yang telah digerakkan dalam empat fasa terdahulu yang bermula 1 Januari dengan berfokuskan negeri Kelantan mengikut pembahagian kawasan angkat yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, secara keseluruhan bagi Program InoS1M, UniMAP telah menghantar 1,440 mahasiswa sebagai sukarelawan pasca banjir di negeri seperti di Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Terdahulu Fasa pertama misi Operasi Pasca Bencana Banjir di Pantai Timur melibatkan 107 pelajar diploma dari badan beruniform Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) selama 6 hari bermula 1 Januari sebelum diambil alih oleh fasa kedua yang melibatkan staf UniMAP berakhir 9 Januari.
Fasa ketiga pula membabitkan alumni dan Majlis Penghuni Kolej Kediaman UniMAP yang berakhir 11 Januari dan diteruskan dengan pergerakan sukarelawan fasa keempat juga dari kalangan staf dan berakhir 15 Januari 2015.
Menurut Dr. Kamarudin, selain membina jaringan hubungan antara pimpinan kerajaan negeri dengan mahasiswa, program InoS1M ini juga secara tidak langsung memberi peluang kepada mahasiswa UniMAP yang rata-ratanya terdiri daripada anak kelahiran negeri-negeri terbabit pulang berbakti kepada negeri kelahiran masing-masing.
“Ini secara tidak langsung dapat menggalakkan mahasiswa memainkan peranan sebagai agen sosialisasi untuk pembangunan masyarakat setempat, negeri dan Negara dan pada masa sama menerapkan nilai-nilai kesukarelawan di kalangan mahasiswa UniMAP,” ujar beliau.