- Kategori: BERITA - Malay
Jaga Batasan Hubungan Berlainan Jantina
KANGAR, 23 Mac — Aktiviti seharian memerlukan kita untuk berhubung dan bergaul antara berlainan jantina, namun ia mempunyai batas-batas yang perlu diikuti bagi mengelakkan masalah sosial berlaku.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan berkata, konteks pergaulan adalah cukup luas dan mencakupi segenap aktiviti harian kita seperti dalam urusan kemasyarakatan, jual beli, kerja, belajar dan perubatan.
“Malaysia merupakan negara yang amat istimewa kerana mempunyai pelbagai etnik bangsa dan agama, ini merupakan salah satu bukti keagungan Allah yang maha kaya dan bijaksana menjadikan sesuatu.
“Tidak hairanlah Malaysia sentiasa di pandang tinggi dalam menjaga hubungan sosial sesama masyarakat dan di dalam istilah bahasa arabnya dipanggil Majmuk,”katanya ketika berucap merasmikan Forum Keharmonian Antara Agama Peringkat UniMAP 2016 di Dewan Kecemerlangan, Kompleks Dewan Kuliah, Kampus Induk UniMAP, di sini, baharu-baharu ini.
Forum Keharmonian Antara Agama yang bertajuk “Etika Sosial: Perspektif Agama” disertai empat ahli panel yang mewakili empat agama utama di Malaysia iaitu, Pegawai Institut Sunnah dan Irsyad, Jabatan Mufti Negeri Perlis, Mohd Azri Mohd Nasaruddin, Pengerusi Kuil Arulmigu Arumugaswamy Devasthanam,Perlis, Dr. Hari Ram a/l Ramayya,Wakil dari Persatuan Agama Buddha Perlis, Chong Kian Yew dan wakil bagi agama Kristian, Dr. Ragunathan A/L Santiagoo.
Program selama sehari itu berjaya menarik minat lebih 400 peserta yang terdiri dari kalangan staf dan pelajar UniMAP.
Ujar beliau lagi, secara umumnya pergaulan yang perlu diberikan perhatian oleh setiap ahli masyarakat ialah memandang saudara-saudaranya dengan pandangan sangka baik.
“Ia bermaksud pandangan yang penuh dengan harapan agar saudaranya sentiasa mendapat taufiq dan hidayah Ilahi kontek pergaulan di antara Muslim dan bukan Muslim.
“Kita sedia maklum, secara fitrahnya, manusia tidak boleh hidup keseorangan, seperti mana Nabi Adam a.s yang minta dijadikan teman iaitu Hawa meskipun telah dilimpahi dengan pelbagai kenikmatan dan kesenangan di syurga,”katanya lagi.
Kata Dr. Mohd Fo’ad lagi, pergaulan merupakan suatu keperluan dan tuntutan dalam kehidupan dan Allah telah merakamkan perkara itu di dalam hadis Qudsi sebagai suntikan bahawa setiap pergaulan yang berteraskan untuk mengagungkan dan menqasadkan Allah akan dianugerahkan ganjaran yang terlalu istimewa di akhirat kelak.
Ustaz Mohd Azri Mohd Nasaruddin dari Jabatan Mufti Negeri Perlis sedang memberi penerangan mengenai agama Islam kepada peserta Forum Keharmonian Antara Agama Edisi Ke 4 yang berlangsung di Dewan Kecemerlangan, Kampus Pauh Putra.