- Kategori: BERITA - Malay
46 pelajar antarabangsa tamat Kursus Bahasa Inggeris Antarabangsa (IEC)
Rabu, 9 Mac – Seramai 46 pelajar antarabangsa berjaya menamatkan Kursus Bahasa Inggeris Antarabangsa (IEC) yang ditawarkan oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), baharu-baharu ini.
Menurut Pemangku Naib Canselor, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal, Kursus Bahasa Inggeris Antarabangsa direka untuk meningkatkan kefasihan pelajar dalam berbahasa Inggeris di samping sebagai persediaan untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah.
“Kursus selama enam bulan ini turut membantu pelajar untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan masyarakat sini di samping meningkatkan kefasihan mereka dalam berbahasa Inggeris,” kata Dato’ Zul Azhar ketika berucap di Majlis Makan Malam Tamat Kursus IEC di Hotel Putra Regency Kangar, di sini.
Beliau juga yakin pengalaman belajar di UniMAP akan menjadi pengalaman yang berharga sekiranya pelajar mempamerkan sifat yang baik dan keazaman yang tinggi dalam pembelajaran mereka.
“Saya memahami perasaan mereka yang berada jauh daripada keluarga dan rakan-rakan tetapi dengan niat yang betul pasti semuanya akan membuahkan hasil yang membanggakan,” katanya.
Turut hadir memeriahkan majlis adalah 22 pelajar dari Walailak University yang berada di UniMAP selama lima bulan sejak Disember 2015 lepas hingga Jun 2016 bagi mengikuti Program dalam Negara untuk Bahasa Melayu.