A+ A A-

CEGeoGTech UniMAP Peroleh Geran Penyelidikan Kesatuan Eropah RM2.5 Juta

Kangar, 25 Mac – Penyelidik Pusat Kecemerlangan Teknologi Hijau dan Geopolimer (CEGeoGTech) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengorak langkah dalam arena penyelidikan apabila berjaya memperoleh geran penyelidikan di bawah Kesatuan Eropah bernilai lebih RM2.5 juta.

Geran tersebut yang bakal mengkhusus kepada penyelidikan geopolimer konkrit di bawah tema “Horizon 2020” Program Inovasi dan Penyelidikan bakal menyaksikan kerjasama strategik antara CEGeoGTech UniMAP dengan beberapa buah universiti lainnya dari United Kingdom, Thailand, China dan Greece.

Pengurus CEGeoGTech UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd. Mustafa Al-Bakri Abdullah berkata, berdasarkan perjanjian kerjasama yang dimeterai, penyelidikan kerjasama tersebut yang di ketuai oleh University of Plymouth (UoP), United Kingdom akan berlangsung untuk tempoh empat tahun dengan tajuk penyelidikan Partnership for Research in Geopolymer Concrete (PRIGeoC).

Ujar beliau, kerjasama tersebut turut membuka peluang kepada semua universiti yang terlibat iaitu  Liverpool John Moores Unuversity (LJMU) Uited Kingdom, National Technolgy University of Athens (NTUA) Greece, University of Phayao, Thailand dan Tsinghua University China untuk menjayakan program pertukaran pelajar.

“Selain itu, para pelajar dari kesemua universiti terlibat juga boleh menjayakan program sangkutan (attachment) atau pasca kedoktoran sepanjang tempoh empat tahun perjanjian berlangsung.

CEGeoGTech UniMAP amat beruntung terpilih menjadi ahli dalam kerjasama penyelidikan ini yang mana pemilihan UniMAP dibuat berdasarkan jumlah penerbitan dan pengiktirafan yang diterima oleh penyelidik CEGeoGTech semenjak beberapa tahun lepas,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Berdasarkan laporan Elsevier Research Inttelligence, CEGeoGTech UniMAP muncul sebagai institusi penyelidikan terbaik di dunia dalam bidang Geopolimer dengan 59 jumlah penerbitan keseluruhannya dengan impak faktor sebanyak 222 meninggalkan Curtin University of Technology di tempat kedua dengan 35 penerbitan.

Lebih membanggakan, Penyelidik Geopolimer UniMAP juga mencatatkan indeks wajaran bidang terfokus (Field Weight Citation Index) tertinggi iaitu 3.71 yang bererti penerbitan UniMAP dalam bidang Geopolimer menjadi rujukan penyelidik dari seluruh dunia.

Menurut Dr. Mohd. Mustafa, PRIGeoC merupakan konsortium penyelidikan yg menumpukan kepada bidang bahan geopolymer dengan pelbagai aktiviti antaranya pasca Phd, penerbitan, bengkel dan persidangan.

“Selain saya, penyelidik UniMAP lainnya yangterlibat ialah Prof. Madya Dr. Che Mohd. Ruzaidi Ghazali yang merupakan Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan serta mantan Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen Datuk Prof Emeritus Dr. Kamarudin Hussin manakala Prof. Dr. Long Yuan Li daripada UoP pula akan bertindak sebagai ketua penyelidik.

“Semoga dengan adanya geran ini akan membuka peluang kepada para penyelidik UniMAP untuk terus mewujudkan rangkaian kerjasama dengan universiti-universiti di bawah kesatuan Eropah,” ujar beliau lagi.

Prof. Dr. Long Yuan Li  (kiri) daripada University of Plymouth (UoP) dan Prof. Madya Dr. Mohd Mustafa Al-Bakri Abdullah, bertukar dokumen perjanjian geran penyelidikan dalam bidang Geopolimer dan Konkrit Hijau bernilai RM2.5 Juta di United Kingdom semalam.