- Kategori: BERITA - Malay
Royal A-HEART Charity Walk Kutip RM30,000
ARAU, 26 Mac (Bernama) -- Program jalan kaki amal, Royal A-Heart Charity Night Walk di kampus Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini Jumaat malam berjaya mengumpul dana sebanyak RM30,000 sumbangan lebih 5,000 peserta yang menyertainya. Pengerusi jawatankuasa penganjur, Prof Dr Abdul Hamid Adom berkata kutipan untuk mengisi Tabung Hab Sumber Pendidikan dan Latihan Autisme (A-HEART) UniMAP itu adalah bagi membina sebuah pusat bimbingan autisme di kampus tetap UniMAP di sini. Program anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan UniMAP itu turut disertai Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Prof Dr Abdul Hamid berkata program amal jalan kaki itu dianjurkan bersempena Festival A-HEART UniMAP di kampus UniMAP di sini selama tiga hari yang bermula semalam. Katanya selain pelajar dan warga UniMAP, orang ramai, pelajar sekolah seluruh Perlis serta anak-anak autistik dari Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) turut menyertai jalan amal itu. Festival itu bertujuan memperkenalkan A-HEART UniMAP sebagai satu organisasi yang menawarkan perkhidmatan dan latihan kepada komuniti yang memerlukan di Perlis dan Wilayah Utara, katanya. Beliau berkata program itu adalah antara inisiatif untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap keperluan anak-anak autistik serta penglibatan mereka dalam pembangunan dan perkembangan mereka. Program jalan kaki amal sejauh tiga kilometer itu bermula dari Dataran Dewan Ilmu UniMAP melalui Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra dan berakhir di tempat permulaan. Ia turut diserikan dengan pelbagai pertunjukan bertemakan 'Glow In Thre Dak' antaranya pertunjukan roller blade, pameran kereta audio, perarakan motosikal berkuasa besar dan pertunjukan bunga api.-- BERNAMA