A+ A A-

500 LEMANG DI PROGRAM ‘JOM BAKAR LEMANG’

Kangar ,6 Ogos –Menjelang Aidilfitri yang bakal tiba 8 Ogos ini, Kelab Media Perlis (KEMPs) dan sukarelawan Kebajikan Negeri menganjurkan program ‘Jom Bakar Lemang dan Majlis Berbuka Puasa’ dengan turut dimeriahkan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Dalam program yang diadakan di Rumah KEMPs ,di sini hari ini sebanyak 500 batang buluh dan 80 kilogram (kg) beras digunakan bagi menyediakan lemang yang dibakar secara bergotong-royong oleh lebih 80 orang sukarelawan, pengamal media, staff  Unit Media UniMAP serta pelajar antarabangsa bermula jam 10 pagi sehingga waktu berbuka puasa.

Di majlis itu juga Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen.Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin menyampaikan sumbangan Hari Raya daripada pihak UniMAP  kepada Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Abdullah Ali dan setiap ahli KEMPs yang diterajui Presidennya, Adnan Jahaya serta 10 pelajar antarabangsa UniMAP yang menyambut Aidilfitri di negara ini.

Turut hadir ke program berkenaan ialah Presiden Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Perlis, Datuk Bahari Taib.

Dr Kamarudin berkata program ini dapat mengeratkan silaturahim antara UniMAP dengan pihak media serta sukarelawan JKM sekaligus dapat menjalinkan kerjasama yang erat di masa akan datang.

Katanya, selain itu pelajar-pelajar antarabangsa juga dapat diberi pendedahan mengenai suasana sambutan Hari Raya di negara ini yang besar kemungkinan agak berbeza dengan sambutan di negara asal mereka.

“Pelajar-pelajar luar negara ini dapat melihat serta mempelajari dengan lebih dekat bagaimana menghasilkan lemang yang menjadi antara juadah utama Hari Raya Aidilfitri di kalangan masyarakat Melayu di negara ini.

“Selain itu, sumbangan kepada pihak media juga adalah sebagai penghargaan UniMAP kerana media telah banyak membantu mengharumkan nama UniMAP sejak dari awal penubuhan UniMAP yang dahulunya dikenali sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM),” kata beliau.