- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Graduan Malaysia Ikuti Program Di Jepun, Dalami Prinsip Negara Maju
KANGAR, 1 April (Bernama) -- Lima graduan Malaysia yang terpilih mengikuti Program Kepimpinan Wanita di Universiti Antarabangsa Josai (JIU), Jepun tajaan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) berperanan menimba sebanyak mungkin pengalaman berharga untuk manfaat pembangunan negara.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah YTF, Tan Sri Dr Ng Yen Yen dalam kenyataan hari ini berkata program yang bermula pada 3 April selama setahun itu diharap dapat membantu Malaysia mencapai status negara maju khususnya dengan penglibatan kaum wanita.
"Kurikulum program itu merangkumi aspek wanita dalam pembangunan negara dan dunia, cabaran kepimpinan di era globalisasi, hubungan Jepun dan ASEAN serta penekanan budaya kerja beretika dan berkualiti.
"Ia selaras dengan matlamat YTF bertujuan untuk melahirkan generasi kepimpinan wanita muda yang cemerlang dengan visi global," katanya yang turut mengiringi Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berangkat bertemu lima graduan terpilih itu dan melawat asrama tempat tinggal mereka yang kondusif di daerah Chiba, Tokyo, Jepun Jumaat.
Graduan terlibat ialah Lim Xin Shi, 25, dari Johor dan Khuzaimah Ramli@Lahman, 25, dari Kedah yang masing-masing merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa Universiti Malaysia Perlis, (UniMAP) dan Nurul Najwa Halim, 23, dari Kedah, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Sains Biosistem, UniMAP.
Dua lagi graduan dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) iaitu Nor Salihah Zaini, 24, dari Perak, graduan Ijazah Kejuruteraan Mekanikal Termal Cecair dan Nurul Afizan Yaakob, 24, dari Selangor, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan.
Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga merangkap Pengerusi YTF.
Baginda berdua berangkat tiba awal pagi ini di Lapangan Terbang Narita dan disambut oleh Timbalan Ketua Perwakilan Malaysia di Tokyo Hendy Assan.
Selain menimba ilmu dan budaya cemerlang dari negara matahari terbit itu, pelajar program tersebut juga berperanan berkongsi dengan rakan-rakan di JIU tentang pembangunan wanita di Malaysia termasuk dasar dan program sedia ada serta memberikan penekanan terhadap idea kepentingan wanita dan media.
Program dengan kerjasama JIU dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu merupakan projek pertama YTF di luar Malaysia dan akan dijalankan bagi tempoh lima tahun di mana permohonan penyertaan dibuka pada Julai setiap tahun.
Kerjasama strategik antara dua negara itu juga diharap dapat diperluaskan ke 10 negara ASEAN yang lain.
-- BERNAMA