A+ A A-

Jepun Kekal Pelabur Asing Terbesar Dalam Sektor Pembuatan Di Malaysia - Duta Malaysia Ke Jepun

Daripada Effendi Harun


TOKYO, 7 April (Bernama) -- Jepun kekal sebgai negara asing terbesar yang melabur dalam sektor pembuatan di Malaysia, selain rakan dagang keempat terbesar, sehingga tahun lepas.

Menurut Duta Besar Malaysia ke Jepun Datuk Ahmad Izlan Idris, Malaysia pula merupakan rakan dagang kelapan terbesar Jepun dengan nilai perdagangan berjumlah US$33.59 bilion.

Beliau berkata dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun lepas, sebanyak 52 projek membabitkan pelaburan berjumlah US$607.9 juta, diluluskan kepada syarikat Jepun.

Setakat ini, sebanyak 1,345 syarikat dari negara matahari terbit itu terlibat dalam sektor pembuatan dan bukan pembuatan di Malaysia, kata Ahmad Izlan.

Menurutnya antara pelaburan utama Jepun ialah dalam pembuatan produk mineral bukan metalik, eletronik dan elektrikal, kimia, peralatan pengangkutan dan mesin.

Beliau ditemui Bernama selepas menyambut keberangkatan tiba Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selaku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), yang mengetuai delegasi Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) ke Tokyo, baru-baru ini.

Baginda serta Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku pengerusi YTF, diundang oleh Josai International University (JIU) bersempena penerimaan masuk lima pelajar tajaan YTF untuk mengikuti program Kepimpinan Wanita selama setahun di universiti berprestij itu.

Program tersebut membabitkan kerjasama YTF-JIU dan UniMAP.

Ahmad Izlan berkata Nippon Electric Glass, Fuji Electric, SDP Global, Tosoh Corporation dan Kaneka Corporation, merupakan antara lima pelabur terbesar Jepun di Malaysia pada masa ini.

"Syarikat-syarikat Malaysia pula mempunyai peluang luas untuk melabur dalam bidang industri halal, pensijilan halal, kewangan Islam serta produk pertanian di Jepun," katanya.

Mengenai pelancongan, beliau berkata seramai 439,775 rakyat Jepun mengunjungi Malaysia tahun lepas, manakala rakyat Malaysia yang melawat Jepun dari Januari hingga November 2015 seramai 255,214 orang.

Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Jepun terjalin sejak kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Jepun menubuhkan Kedutaan Besarnya di Kuala Lumpur pada September 1957 manakala Malaysia membuka pejabat Kedutaan Besarnya di Tokyo pada Januari 1958.

-- BERNAMA