- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Penajaan Lima Pelajar Sulung Ikuti Kursus Di JIU Buka Ruang Kerjasama Lebih Luas
Daripada Effendy Harun
TOKYO, 5 April (Bernama) -- Penerimaan lima pelajar sulung tajaan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) Perlis mengikuti kursus Kepimpinan Wanita oleh Josai International University (JIU) membuka ruang kerjasama lebih erat antara YTF, JIU dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Pemangku Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata ketiga-tiga pihak yang mengadakan perbincangan di ibu negara Jepun di sini semalam telah mencapai beberapa keputusan memberangsangkan.
Katanya UniMAP bersetuju menjadi tuan rumah satu forum bagi memantapkan hubungan termasuk berkongsi kekuatan atau kelebihan dalam aspek pengukuhan kepimpinan wanita, pengurusan alumni, keusahawanan dalam pendidikan dan konsep wakaf universiti.
Selain menjemput kepimpinan utama JIU, beberapa universiti di ASEAN dan luar ASEAN yang mempunyai hubungan rapat dengan UniMAP akan dijemput menyertai forum berkenaan pada tahun ini, kata Zul Azhar.
Beliau bercakap kepada Bernama di sini sebelum berlepas pulang ke Malaysia semalam. Zul Azhar menyertai delegasi YTF ke Tokyo bersempena penerimaam lima pelajar oleh JIU untuk mengikuti kursus kepimpinan wanita selama setahun.
Penasihat Khas kepada Menteri Pengajian Tinggi Malaysia Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin memberitahu kerjasama YTF-JIU-UniMAP dalam Program Kepimpinan Wanita akan dikembangkan membabitkan peserta dari Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam.
Kamarudin yang juga bekas Naib Canselor UniMAP katanya YTF akan menjemput pelajar Jepun ke Malaysia untuk mendalami aspek kewangan syariah manakala satu entiti bagi mengkoordinasikan segala urusan dengan Pusat ASEAN di JIU bakal diwujudkan oleh UniMAP.
Sementara itu lima pelajar terbabit, Lim Xin Shi, 25 (UniMAP), Khuzaimah Ramli, 25 (UniMAP), Nurul Afizan Yaakob, 24 (Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)), Nurul Najwa Halim, 24, (UniMAP) dan Nor Salihah Zaini, 24 (UTeM) yang teruja mengikuti kursus tersebut mengucapkan terima kasih kepada YTF kerana memberi peluang kepada mereka.
"Kami akan menggunakan peluang ini sebaik mungkin untuk mempelajari budaya, sosial dan cara kepimpinan negara Jepun dan masyarakatnya yang dikaitkan dengan disiplin yang tinggi dan ketepatan masa," katanya.
Khuzaimah pula yakin program yang diikuti ini membantu mereka menjadi pemimpin dalam kalangan wanita yang berjaya pada masa hadapan manakala Nurul Afizan berkata YTF membuat pengorbanan besar membiayai kursus mereka di JIU.
-- BERNAMA