A+ A A-

Manfaatkan Peluang Belajar Di Jepun - Raja Muda Perlis

Daripada Effendy Harun


TOKYO, 2 April (Bernama) -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menasihatkan para pelajar Malaysia di Jepun agar memanfaatkan peluang belajar di negara matahari terbit itu termasuk mendalami dan memahami disiplin, nilai budaya dan peradaban masyarakatnya.

Menurut baginda, Jepun merupakan negara maju berpendapatan tinggi yang kadar jenayahnya rendah dan selamat dilawati selain etika masyarakatnya menepati masa, semangat inovasi, kesetiaan, dedikasi, berbudi bahasa dan menghormati tetamu.

"Resipi kejayaan Jepun inilah yang perlu dicontohi dan dipraktikan mengikut kesesuaian kita untuk memajukan Malaysia," titah baginda pada majlis resepsi pendaftaran lima pelajar tajaan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) di Josai International University (JIU) di sini, Sabtu.

Baginda bersama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap pengerusi YTF berada di Jepun atas undangan JIU sempena penerimaan masuk lima pelajar tajaan YTF untuk mengikuti program Kepimpinan Wanita di universiti itu selama setahun.

Pelajar terbabit ialah Khuzaimah Ramli@Lahman, 25, Nurul Najwa Halim, 23, Lim Xin Shi, 25, Nor Salihah Zaini, 24, dan Nurul Afizan Yaakob, 24.

Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Ahmad Izlan Idris serta ahli Lembaga Pemegang Amanah YTF Tan Sri Dr Ng Yen Yen dan Datuk M. Rajasekaran mengiringi baginda berdua.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah para pelajar Malaysia yang mendapat biasiswa belajar di Jepun hendaklah belajar bersungguh-sungguh dan melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh rasa tanggungjawab.

Baginda turut mengingatkan masyarakat dan para pelajar Malaysia di Jepun supaya menghormati undang-undang negara itu bagi menjaga nama baik dan imej Malaysia di persada antarabangsa.

Pada masa ini, pejabat Kedutaan Malaysia di Jepun mendaftarkan seramai 5,551 rakyat Malaysia di negara itu antaranya golongan profesional, ahli perniagaan dan pelajar.


-- BERNAMA