A+ A A-

Kerjasama Malaysia-Jepun Dalam Pendidikan, Latihan Usahawan Perlu Dipelopori - Raja Muda Perlis

KANGAR, 1 April (Bernama) -- Peluang kerjasama strategik antara Malaysia dan Jepun dalam bidang pendidikan dan latihan pembangunan usahawan perlu dipelopori dan dimanfaatkan kedua-dua negara.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah selain menjalin keakraban antara dua negara, bidang berkenaan turut memanfaat pelbagai pihak termasuk pemilik teknologi, pembiaya kewangan, agensi kerajaan dan usahawan yang berjaya.

"Antara yang boleh dikongsi bersama adalah usaha yang sedang rancak dijalankan di Malaysia menerusi penubuhan agensi Malaysia Global Creativity and Innovation Centre (MaGIC)," titah baginda dalam kenyataan di sini Jumaat.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian sempena majlis santapan yang diraikan Canselor Josai International University (JIU) Dr Noiko Mizuta di Tokyo, Jepun hari ini.

Turut berangkat pada majlis berkenaan ialah Puan Muda Perlis Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, merangkap Pengerusi Yayasan Tuanku Fauziah (YTF).

Menurut baginda, bidang pembangunan latihan sesuai dikongsi untuk kepentingan bersama kerana walaupun telah mempunyai sektor inovasi tinggi, difahamkan Jepun belum menjadi lokasi tumpuan bidang berkenaan disebabkan faktor penguasaan bahasa Inggeris yang tidak meluas dan kos permulaan yang tinggi, titah baginda.

Baginda bertitah, perkongsian itu turut meluaskan pelbagai bentuk program pertukaran pelajar dan pensyarah antara kedua-dua negara serta kerjasama berterusan antara kerajaan Jepun dengan Tourism Malaysia melalui program EduTourism dalam mempromosikan pendidikan Malaysia yang berpotensi dimajukan.

Walaupun belum tersenarai dalam 20 lokasi teratas bagi ekosistem pembangunan, laporan Global Startup Ecosystem Ranking 2015, mengiktiraf Kuala Lumpur sebagai bandar raya Asia yang giat mengadakan usaha menggalakkan kerjasama banyak pihak bagi membangunkan bidang berpotensi tinggi, titah baginda.

Baginda berdua diiringi Ahli Lembaga Pemegang Amanah YTF Tan Sri Dr Ng Yen Yen dan Datuk M Rajasekaran atas undangan pihak JIU bagi menghadiri majlis penyerahan lima pelajar tajaan YTF yang menyertai Program Kepimpinan Wanita di universiti berkenaan selama setahun.

-- BERNAMA