- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
ICKHA 2016 Platform Tingkatkan Kepakaran Dalam Bidang TVET
Arau, 9 April – Kolokium Antarabangsa Aplikasi Teknologi Tinggi Korea (ICKHA 2016) merupakan platform terbaik dalam usaha meningkatkan kepakaran dan pengetahuan dalam bidang Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sejajar dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, ini kerana, ICKHA 2016 menjadi wahana strategik yang menghimpunkan pakar-pakar industri dan akademik dari Korea Selatan sekaligus mewujudkan satu rangkaian industri yang berimpak tinggi.
Jelas beliau, kolokium tersebut turut menjadi platform untuk UniMAP dan lain-lain Universiti Awam (UA) di Malaysia untuk sama-sama meneroka pelbagai kemungkinan dalam merealisasikan kejuruteraan dan teknologi reka bentuk dan aplikasi ke arah penggunaan praktikal serta komersial.
“Menerusi ICKHA 2016 ini, bidang penyelidikan yang dibincangkan tidak hanya tertumpu kepada satu atau dua bidang sahaja tetapi ia merangkumi semua bidang penyelidikan di UniMAP dengan misinya ia boleh membawa kerjasama di masa depan untuk semua kelompok penyelidikan.
“Hasil daripada persidangan ini juga secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada penyelidik dan ahli akademik UniMAP melanjutkan pengajian doktor falsafah (PhD) di universiti-universiti di Korea Selatan atau melakukan latihan industri di sektor perindustrian di negara itu,” ujar beliau ketika berucap di Majlis Perasmian ICKHA 2016 di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, di Pauh Putra di sini hari ini.
Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat hadir bagi menyempurnakan upacara perasmian.
Yang turut hadir, Penasihat Khas kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin serta pengurusan tertinggi UniMAP.
Menurut Dr. Zul Azhar lagi, kolokium tersebut juga diharap mampu menarik lebih ramai pelabur untuk melabur di negeri Perlis sejajar dengan tema yang dipilih iaitu “Researching Korea, Designing Perlis”.
Menurut beliau, berdasarkan pembentangan yang disampaikan oleh Pengarah Urusan Aerospace Composite Malaysia (ACM) Sdn. Bhd., Daniel Park, syarikat dari Korea sentiasa mencari peluang untuk mengembangkan teknologi di negara-negara lain untuk terus kekal relevan di dalam industri.
Selain itu, beliau turut menjelaskan, dengan adanya industri berteknologi tinggi di negara-negara luar, ia secara tidak langsung data membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat serta graduan dari UA tempatan yang berdekatan.
“Setakat ini hubungan UniMAP dengan Korea sangat baik dan ia terbukti melalui pembentangan Daniel Park sebentar tadi yang menyatakan 40 peratus jurutera mereka adalah graduan dari UniMAP.
“Manakala dalam bidang kepakaran teknikal pula, 30 peratus darinya merupakan graduan UniMAP dan saya amat berharap kolokium ini dapat membantu UniMAP menggubal kurikulum mengikut kehendak industri dan pada masa sama meningkatkan reputasi UniMAP sehingga ke tahap global,” ujar beliau lagi.
Selain ACM, turut berkongsi kepakaran dalam ICKHA 2016 ialah Prof. Dr. Eom Joon Chul, Presiden Global Institute For Transferring Skills; Prof. Dr. Lee Byung Gook, Profesor dari Dongseo University dam Prof. Kwang Wookjung, KEtua Pegawai Eksekutif Man. & Tel. Co. Ltd.
ICKHA 2016 merupakan salah satu aktiviti yang terkandung dalam Minggu Korea UniMAP (UniKOW) sebagai susulan program Jelajah Ilmu Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP ke Korea Selatan, Disember tahun lalu.