A+ A A-

Galakkan Pelajar Kreatif Lakukan Inovasi - Raja Muda Perlis

PAUH PUTRA (ARAU), 10 April (Bernama) -- Pelajar Institusi Pengajian Tinggi dan sekolah harus digalakkan bebas berkreativiti untuk mencipta inovasi dalam bidang yang mereka minati, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.


Pupuk minat mereka untuk berinovasi melalui penyertaan dalam pertandingan dan pameran umpamanya yang berkaitan pemindahan teknologi di peringkat nasional dan antarabangsa.

Unsur kreativiti dan inovasi yang diajar di IPT dan sekolah bukan sahaja membantu melahirkan generasi baharu yang dinamik dan berdaya saing yang akan mampu berfikir 'di luar kotak'?, tetapi pada masa yang sama membuka jalan bagi hubungan kerjasama rentas sempadan antara penyelidik, titah baginda semasa menutup Pameran Reka Cipta dan Inovasi Kejuruteraan Antarabangsa (i-ENVEX) 2016 anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini hari ini

"Pelajar perlu diberi kebebasan untuk berfikir secara analitikal dan kritis, dan ini perlu disokong oleh persekitaran interaktif dan terkawal yang bergantung kepada keprihatinan, etika dan nilai moral," tegas baginda.

Berangkat sama pada majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Tuanku Pro Canselor UniMAP.

Baginda yang juga Canselor UniMAP menasihatkan IPT dan sekolah supaya mengambil peluang untuk berunding dengan pihak industri bagi membolehkan penyelidikan menjurus kepada permintaan pasaran.

Raja Muda turut bertitah mengingatkan warga universiti yang terlibat dalam penyelidikan dan inovasi bahawa peranan mereka bukan sekadar melangkaui makmal dan institusi, tetapi juga penting dalam kemajuan global.

"Tahniah diucapkan kepada pencipta-pencipta muda yang amat komited dalam merealisasikan agenda nasional, dan lebih penting, dapat mewujudkan generasi muda kelas pertama yang berilmu, inovatif dan kreatif dalam memastikan ketahanan, kemakmuran dan kesejahteraan negara," titah baginda.

Terdahulu, Pemangku Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal dalam ucapan aluannya berkata pelajar IPT dan sekolah perlu sentiasa berfikiran kritis untuk menjadi generasi baharu yang mempunyai nilai kompetitif dalam bidang penyelidikan dan inovasi.

Beliau berkata pihak industri juga perlu memainkan peranan membantu mengkomersialkan produk inovasi yang dihasilkan pelajar.

i-ENVEX 2016 mendapat 400 penyertaan daripada IPT dan sekolah menengah seluruh negara di samping dari Korea Selatan, Kanada, Amerika Syarikat, Jepun, China, India, Turki, Romania, Moldova, Bulgaria, Mesir, Iraq, Indonesia, Thailand, Maghribi, Kemboja, Poland, Taiwan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Enam belas peratus daripada produk berkenaan adalah daripada penyelidik muda dari luar negara dan 36 peratus penyertaan adalah daripada pelajar sekolah," katanya.

-- BERNAMA