A+ A A-

Sokongan Industri Mantapkan TVET

Alor Setar, 11 April: Kerjasama dari pihak industri diperlukan dalam usaha membantu kerajaan untuk memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah berkata, kerjasama dengan industri luar bukan saja dapat memantapkan penyelidikan, malah turut menaikkan kualiti akademik.

“Saya percaya melalui kolaborasi  dengan pihak industri, sesuatu program pengajian dan penyelidikan akan dapat memenuhi kehendak yang diinginkan industri.

“Dengan ini, graduan yang dilahirkan universiti juga akan lebih mesra industri serta mudah dipasarkan apabila bergraduat kelak,” katanya

Teks ucapannya dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MOSTI, Dato’ Dr. Mohd Azhar Yahaya  pada Perasmian Majlis Makan Malam Gemilang Dasawarsa Pusat Pengajian Kejuruteraan Alam Sekitar (PPKAS), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di TH Hotel, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Penasihat Khas Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Briged. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin dan Dekan PPKAS UniMAP, Dr. Nasrul Hamidin.

Majlis Makan Malam Gemilang Dasawarsa PPKAS, UniMAP buat pertama kalinya diadakan bertujuan bagi menghargai jasa warganya dalam membantu menaikkan nama PPKAS selama 10 tahun penubuhannya.

Sementara itu, Dekan PPKAS Dr. Nasrul Hamidin dalam ucapannya berkata, majlis itu akan menjadi platform alumni untuk berhubung sesama alumni bersama pusat pengajian.

“PPKAS akan menggunakan medium persatuan Alumni ini untuk mendapatkan maklumat-maklumat terkini dari pihak industri mengenai permintaan mereka terhadap graduan kita yang sekaligus dapat membantu untuk mengukuhkan lagi kurikulum yang sedia ada supaya graduan yang dilahirkan lebih unggul dan diterima oleh industri,” katanya lagi.