- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
UniMAP Bakal Anjurkan Korean Summer Program (KSP)
Kangar, 12 April – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bakal menganjurkan satu program musim panas khusus untuk pelajar-pelajar dari Korea Selatan yang dijadualkan berlangsung pada bulan Julai dan Ogos tahun ini.
Program yang diberi nama Korea Summer Program (KSP) itu bakal dikendalikan oleh UniMAP Holdings Sdn. Bhd. (UniMAP Holdings) khusus untuk mendedahkan pelajar-pelajar dari Korea Selatan dengan budaya dan adat resam masyarakat pelbagai kaum di negara ini khususnya di negeri Perlis.
Ketua Pegawai Eksekutif UniMAP Holdings, Baharudin Abdul Majid berkata, selain itu, matlamat penganjuran KSP adalah bagi mewujudkan semangat persaudaraan dalam era globalisasi di antara Malaysia dan Korea Selatan dan pada masa sama menggalakkan pemindahan pengetahuan antara kedua-dua buah negara.
“Program KSP mengambil masa selama empat minggu untuk pelajar-pelajar IPT dari Korea Selatan mempelajari selok belok kebudayaan dan ciri-ciri negara tuan rumah menerusi beberapa program yang dirancang di beberapa lokasi terpilih,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
UniMAP Holdings baru-baru ini turut mengambil peluang menandatangani memorandum (MoA) dengan Hi-Tech Solutions Korea yang akan bertanggungjawab menguruskan penyertaan pelajar Korea dalam KSP.
Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat hadir menyaksikan majlis tersebut yang diadakan bersempena dengan Minggu Korea UniMAP (UniKOW).
Hi-Tech Solutions diwakili Pengurus Besar syarikat, Jong-Pil Kang dan Sin Hyun Kim manakala UniMAP Holdings diwakili oleh Baharudin dan Ketua Pegawai Operasi UniMAP Holdings, Dr Mohd Najmuddin Mohd Hassan.
Hadir sama ialah Penasihat Menteri Pengajian Tinggi, Brig Jen. Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin yang juga mantan Naib Canselor UniMAP dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal.
UniKoW dianjurkan selama tiga hari dengan tema “Researching Korea, Designing Perlis” susulan program Jelajah Ilmu Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP ke Korea Selatan pada Disember tahun lalu.
Antara program sempena UniKOW ialah Kolokium Antarabangsa Aplikasi Teknologi Tinggi Korea (ICKHA 2016), Pesta Makanan Korea , persembahan Taekwando, dan penganjuran kali ke -7 Pameran Reka Cipta dan Inovasi Kejuruteraan Antarabangsa (i-ENVEX 2016).
Baharudin seterusnya berkata, KSP dijangka menarik penyertaan yang ramai dengan pelbagai aktiviti dirangka merangkumi aktiviti ilmiah seperti kelas Bahasa Inggeris dan keusahawanan serta aktiviti riadah dan sukan seperti Festival Buah-buahan Tempatan, memanah, berkayak, persembahan kebudayaan dan pertandingan bola sepak.
“UniMAP Holdings telah mempunyai modul penganjuran yang khusus untuk KSP dan kami percaya, para pelajar yang mengambil bahagian dalam program ini akan pulang dengan satu pengalaman yang baru dan mengujakan,” ujarnya lagi.