- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Program Pengecualian Visa Ke Amerika Syarikat Hampir Selesai – Duta
Arau, 14 April – Program Pengecualian Visa bagi membolehkan rakyat Malaysia mengunjungi Amerika Syarikat (AS) tanpa visa dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat, kata Duta AS ke Malaysia, Joseph Y. Yun.
Menurut beliau, menerusi program tersebut yang dilaksanakan sejak dua tahun lalu, Malaysia perlu mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan oleh kerajaan AS antaranya mengekalkan kadar penolakan visa di bawah tiga peratus selama setahun.
Ujar beliau, pada dasarnya, Malaysia telah menunjukkan prestasi yang memberansangkan berhubung kadar penolakan visa apabila berjaya mencapai kadar 3.4 peratus kini berbanding 11 peratus dalam tempoh lima tahun yang lalu.
“Kita hampir pasti menyelesaikannya (pengecualian visa) jika dilihat kepada prestasi memberansangkan ini,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Antarabangsa bertajuk “Hubungan Strategik Malaysia-Amerika Syarikat” di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) di Kampus Induk Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini petang semalam.
Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah lailatul Shahreen Akshah Khalil turut berkenan berangkat hadir ke Syarahan Antarabangsa yang dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Kepimpinan Pendidikan Lestari (LEAD) UniMAP itu.
Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal dan pengurusan tertinggi UniMAP.
Yun seterusnya menjelaskan, apabila program tersebut dilaksanakan kelak, Malaysia bakal menjadi negara majoriti Islam pertama yang diberikan pengecualian visa.
Jelas beliau, selain kadar penolakan visa, Malaysia dan AS juga telah menandatangani perjanjian dokumen keselamatan bagi membolehkan kedua-dua negara bertukar data jenayah dan pengganas.
“Ramai yang melihat perjanjian ini sebagai sesuatu yang negatif, tetapi sebenarnya dengan adanya pertukaran data ini, pihak AS akan dapat menyekat individu yang perlu dihalang dari memasuki AS.
“Agak sukar sebenarnya untuk menakrifkan penjenayah dan pengganas mengikut terma sesebuah negara, dan ia sebenarnya yang melengahkan proses pengecualian visa ini. Namun, berdasarkan perjanjian yang dimeterai, ia dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat,” ujarnya lagi.
Yun sebelum itu turut menghadiri majlis santapan tengah hari bersama Tuanku Raja Muda dan Raja Puan Muda serta Mufti negeri Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.