A+ A A-

UniMAP Komited Hasilkan Sumber Manusia Berkemahiran Tinggi

Kangar, 26 April – Sebagai hub pendidikan kawasan utara, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) komited untuk menghasilkan sumber manusia yang berkemahiran tinggi yang mampu menyumbang kepada bidang industri perkhidmatan dan pembuatan Negara.

Pengarah Pusat Kerjasama Industri dan Agensi Kerajaan (CIGC), Dr. Mukhzeer Mohamad Shahimin berkata UniMAP sedia untuk berkolaborasi dengan mana-mana organisasi sebagai usaha untuk meningkatkan daya saing pelajar.

UniMAP akan terus menyokong dan menjadi rakan strategik dengan mana-mana organisasi untuk meningkatkan daya saing, skil dan pembentukan sahsiah diri pelajar sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran global.

“Ini sekaligus akan memastikan Malaysia mempunyai graduan yang diperlukan untuk mencapai sasaran sebagai Negara berpendapatan tinggi, dan ekonomi berasaskan pengetahuan menjelang 2020,” katanya ketika merasmikan Pameran Kerjaya Sector Focused Career Fair UniMAP (SFCF) 2016 yang berlangsung di Dewan Ilmu Kampus Induk UniMAP, Pauh Putra semalam.

Program selama dua hari itu adalah anjuran bersama UniMAP dan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) disertai lebih 30 industri yang berfokus kepada Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Hadir bersama Ketua Pembangunan Bakat Malaysia (Kebolehpasaran Graduan) TalentCorp, Siti Norliza Mohd Sahar; dan Pengarah Program SFCF UniMAP, Eric Aw Zhern Li.

Menurut Dr. Mukhzeer, pameran kerjaya tersebut merupakan program tahunan CIGC dan UniMAP tetapi SFCF adalah julung kali diadakan dan mendapat sambutan luar biasa bukan sahaja dari pelajar UniMAP malah dari institusi lain Negara ini.

“Kami percaya, program sebegini akan menonjolkan bakat terbaik pelajar kita yang sekaligus menarik minat syarikat antarabangsa dan pembuatan bernilai tinggi untuk mengupah mereka,” katanya.

Tambahnya lagi, ini secara tidak langsung akan membolehkan syarikat-syarikat tersebut mengembangkan operasi mereka hingga ke peringkat global. 

Selain UniMAP, terdapat tiga lagi universiti yang bakal menganjurkan SFCF iaitu Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 11 dan 12 Mei 2016, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 27 dan 28 September 2016 dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) pada 18 Oktober 2016.

SFCF turut menerima kunjungan daripada pelajar institusi luar antaranya UPSI, Kolej Universiti Islam Perlis (KUIP), Institut  Latihan Perindustrian (ILP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Arau, dan Politeknik kawasan utara.