A+ A A-

Dato’ Profesor Dr. Zul Azhar Zahid Jamal  Naib Canselor Baharu UniMAP

KANGAR, 11 Mei: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan pelantikan Dato’ Profesor Dr. Zul Azhar Zahid Jamal sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), bagi menggantikan Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin yang telah tamat kontrak pada 10 Februari 2016 lalu.

Perlantikan Profesor Dr. Zul Azhar itu adalah bagi tempoh tiga tahun  dan  berkuatkuasa mulai 1 Mei 2016 sehingga 30 April 2019.

Profesor Dr. Zul Azhar yang dilahirkan di Taiping, Perak dan mendapat pendidikan menengah di Malay College, Kuala Kangsar (MCKK). Beliau mempunyai kelayakan sarjana muda dan sarjana dalam bidang Fizik daripada Western Michigan University, masing-masing dalam tahun 1985 dan 1987.

Beliau kemudiannya berkhidmat di Universiti Sains Malaysia (USM) sebelum menyambung pengajian peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) di University of Liverpool dalam bidang Kejuruteraan Bahan dengan pengkhususan  Fabrikasi dan Pencirian Bahan Elektronik.

Kemudian beliau menyambung perkhidmatan di USM sehingga UniMAP (pada waktu itu KUKUM) ditubuhkan pada tahun 2002.

Di UniMAP, Dato’ Prof. Dr Zul Azhar telah dilantik sebagai Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mikroelektronik sehingga tahun 2006. Seterusnya beliau diberi kepercayaan untuk menjawat jawatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) selama 3 tahun.

Pada tahun 2011, beliau telah dilantik pula sebagai  Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa). Setelah mantan Naib Canselor UniMAP tamat tempoh pelantikan pada bulan Februari 2016, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar telah diamanahkan untuk menjalankan tugas-tugas Naib Canselor sehingga kini.


Pengalaman YBhg. Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar dalam bidang pentadbiran menjadikan beliau calon yang sesuai untuk memimpin UniMAP ke tahap yang lebih tinggi.

Kementerian Pendidikan Tinggi turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada mantan Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Profesor Emeritus Dr. Kamarudin Hussin atas khidmat bakti serta sumbangan beliau sepanjang menjawat jawatan Naib Canselor UniMAP selama 14 tahun mulai 16 Februari 2002 sehingga 10 Februari 2016.

Justeru, adalah menjadi harapan KPT agar budaya kecemerlangan beliau diteruskan oleh Naib Canselor baharu UniMAP.

Sementara itu, Zul Azhar berkata, pelantikan itu merupakan satu amanah yang besar dan berat, beliau berharap agar semua warga UniMAP memberikan sokongan agar dapat bersama-sama membangunkan sebuah universiti.

“Ini merupakan satu amanah yang besar dan berat, marilah kita bersama-sama membangunkan sebuah universiti,” katanya.

Dato’ Profesor Dr. Zul Azhar Zahid Jamal  Naib Canselor Baharu UniMAP