A+ A A-

Kakitangan UniMAP Disaran Urus Kewangan Dengan Baik Elak Beban Hutang

Pauh Putra, 10 Mei- Kakitangan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) disaran bagi mendapatkan khidmat kaunseling agar dapat membantu menguruskan kewangan kehidupan seharian dengan baik.

Ini berikutan lebih 150 kakitangan universiti ini mempunyai kadar keberhutangan yang serius iaitu 60 peratus hutang daripada gaji hakiki mereka menyebabkan golongan ini menghadapi masalah kewangan yang membebankan.

Saranan ini disuarakan Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal ketika menyampaikan ucapan bagi merasmikan Seminar Pengurusan Kewangan (Potongan Gaji – Pinjaman Perumahan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB)) di Dewan Kecemerlangan UniMAP, di sini, hari ini.

Menurut Zul Azhar, adalah penting bagi kakitangan awam memahami dan mengetahui pengurusan kewangan bagi mengelakkan tekanan akibat hutang yang tinggi sehingga menjejaskan kehidupan harian.

“Adalah penting golongan ini mendapat khidmat kaunseling serta mengikuti seminar seperti hari ini bagi membantu meringankan beban kewangan yang dihadapi.

“Justeru, saya berharap menerusi seminar ini, kakitangan UniMAP mendapat penerangan yang lebih jelas mengenai pengurusan kewangan terutama membabitkan pinjaman, pelaburan dan simpanan, “ kata beliau.

Seminar Pengurusan Kewangan anjuran Jabatan Bendahari dan Unit Latihan UniMAP itu turut dihadiri Pengurus Cawangan BMMB Kangar, Rosli Mahamud, serta tiga penceramah bagi tiga slot iaitu Pengurus Kanan Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif LPSSA Mohd Rashidi Baba, Pengurus Cawangan ASNB Kangar Abdul Rahman Amir dan Naib Presiden merangkap Head Consumer Banking,BMMB Awang @ Musran Tawil.

Seminar berkenaan dihadiri hampir 200 kakitangan UniMAP dari pelbagai peringkat jawatan dan Pusat Tanggungjawab (PTj) dalam usaha Jabatan Bendahari meningkatkan kefahaman warga UniMAP mengenai pinjaman perumahan, pelaburan ASNB dan simpanan.