A+ A A-

ZARQA University Hasrat Jalin Kerjasama Dengan UniMAP

Pauh Putra, 11 Mei – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus mendapat perhatian institusi pengajian tinggi dari luar negara apabila Universiti Zarqa (ZU), Jordan berhasrat bagi menjalinkan kerjasama.

Justeru, satu majlis menandatangani surat hasrat (LOI) diadakan di Library Lounge, Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) di antara ZU dan UniMAP, di sini, hari ini.

UniMAP diwakili Naib Canselornya, Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal manakala ZU diwakili rektornya, Prof Dr Mahmoud Al-Wadiy.

Kunjungan pertama ZU ke UniMAP itu turut disertai Pengerusi Lembaga Pengarah ZU Dr Mahmoud Abu Syaerah, Pengarah Akademik Al-Bayan Corporation Dato’ Mahmoud Abdul dan Pengarah Komunikasi Korporat dan Kebudayaan ZU, Safwan Omari.

ZU mengadakan lawatan ke Malaysia dalam usaha bagi meningkatkan hubungan dengan Universiti Awam (UA) dan tertarik bagi mengadakan kerjasama dalam bidang kejuruteraan selepas dibawa melawat Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Mikroelektronik, AMBIENCE, dan PTSFP.

Universiti swasta pertama di Zarqa itu ditubuhkan pada 1994 terdiri daripada enam kolej dengan 150 pelajar pada awal penubuhannya dan kini sudah mempunyai 9000 pelajar di 13 kolej dengan tujuh fakulti kemanusiaan serta enam lagi adalah fakulti saintifik.