- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
UniMAP Raih 100 Peratus Pingat Di ITEX 2016
Kuala Lumpur, 14 Mei – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) merangkul seratus peratus pingat pada 27th International Innovation Exhibition 2016 (ITEX’16) yang berlangsung bermula 12 hingga 14 Mei 2016 bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.
Menurut Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal jumlah peratusan pingat emas yang dicapai pada tahun ini adalah lebih baik berbanding tahun lepas iaitu 46 peratus bagi tahun 2016 berbanding 30 peratus pada tahun 2015.
“Berlaku peningkatan sebanyak 16 peratus bagi pingat emas yang diraih oleh penyelidik UniMAP dan ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan bagi kami di UniMAP,” katanya ketika dihubungi selepas pengumuman keputusan pingat ITEX’16.
UniMAP telah menghantar 15 produk dan berjaya meraih tujuh pingat emas, enam perak dan dua gangsa.
Ujarnya lagi, kemenangan ini bertambah manis apabila empat produk UniMAP yang meraih pingat emas dan dua produk pingat perak turut terpilih untuk tujuh anugerah khas yang disampaikan pada Malam Budaya Cipta yang berlangsung di Hotel Mandarin Oriental malam tadi.
Selain meraih pingat emas, produk Hybrid Fiber – Wireless (FI-WI) System Using Flexible Cross Correlation (FCC) Code For Future Access Networks oleh Dr. Mohd Rashidi Che Beson turut terpilih untuk menerima dua anugerah khas masing-masing dari Asia Invention Association dan Korea Invention Academy.
Produk MEMS Structure Realization Using KRF Excimer Laser Micromaching oleh Prof Madya Dr. Yufridin Wahab juga meraih anugerah khas dari Asia Invention Association.
Manakala produk penyelidikan Dr. Mohd Zakimi Zakaria bertajuk Stance Wheel Innovation of Supporter Chair for Disable Patient pula meraih anugerah khas dari Korea Invention Academy.
Produk hasil penyelidikan Dr. Muzamir Isa bertajuk Wireless Inductive Coil Sensor Based On Abs Material For Smart On-Line Partial Discharge Detection In High Voltage Power Cable menerima anugerah khas dari Taipie International Invention Show and Technomart (INST).
Walaupun meraih pingat perak, produk penyelidikan Dr Sam Sung Ting yang bertajuk EcoMulch Film turut juga menerima anugerah khas dari pihak Korea Invention Academy. Manakala produk penyelidikan bertajuk ZNODE: Novel Natural Dye DSSC From Fruit Mixtures For Nature’s Energy Conversion oleh Ili Salwani Mohamad pula berjaya meraih anugerah khas dari Association of Polish Inventions and Rationalizers.
ITEX’16 mempamerkan lebih 1000 penyelidikan oleh penyelidik universiti, pusat penyelidikan dalam dan luar Negara, sekolah rendah dan menengah, termasuklah sektor swasta dari 22 negara antaranya China, Jerman, Hong Kong, Indonesia, Iraq, Korea, Oman, Filipina, Poland, Rusia, Arab Saudi, Taiwan, Thailand, Amerika Syarikat, Vietnam, Malaysia dan banyak lagi.
Turut diadakan adalah Malaysian Young Inventors Exhibition (MYIE) yang menjadi platform kepada 152 penyelidik muda Negara untuk mempamerkan hasil penyelidikan mereka. Malah penyelidik muda ini juga turut berpeluang untuk bersaing dengan penyelidik muda antarabangsa melalui Asian Young Inventors Exhibition (AYIE).
ITEX’16 dibuka untuk dilawati orang ramai bermula dari jam 9 pagi hingga 6 petang (12 dan 13 Mei 2016) dan 9 pagi hingga 2 petang (14 Mei 2016).