A+ A A-

ITEX 2016 : Mantan Naib Canselor UniMAP Diiktiraf

Kuala Lumpur, 14 Mei – Mantan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Brig. Jeneral Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin diangkat sebagai penerima pertama anugerah MINDS Visionary kategori Institusi Pengajian Tinggi (IPT) pada Malam Budaya Cipta sempena 27th International Innovation Exhibition 2016 (ITEX’16) yang berlangsung di Hotel Mandarin Oriental malam tadi.

Beliau terpilih selepas menunjukkan komitmen yang tinggi, dan kerjasama yang jitu, serta sokongan dan usaha yang tidak berbelah bahagi dalam memartabatkan penyelidikan di Malaysia melalui kepimpinannya semasa menjadi Naib Canselor UniMAP.

Pengasas dan Presiden MINDS, Tan Sri Emeritus Prof. Datuk Dr. Augustine Ong Soon Hock berkata, anugerah itu diberikan kepada individu yang banyak memberikan sumbangan kepada masyarakat melalui kepimpinannya.

“Anugerah ini baharu pertama kali diperkenalkan pada ITEX 2016 dan diberikan khusus buat insan yang memberikan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap bidang sains dan teknologi demi kemajuan masyarakat,” katanya

Sementara itu, Datuk Kamarudin yang kini berkhidmat sebagai Penasihat Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia (KPTM) ketika ditemui menyifatkan anugerah yang diterima beliau adalah sesuatu yang sangat mengharukan dan berjanji akan lebih giat dalam memajukan bidang penyelidikan di Malaysia.

“Walaupun kini saya tidak lagi berkhidmat sebagai Naib Canselor, saya berjanji akan meneruskan usaha memartabatkan bidang penyelidikan di Malaysia bukan sahaja diperingkat pendidikan tinggi tetapi bermula dari akar umbi,” katanya.

Ujar beliau lagi, di peringkat kementerian pelbagai perancangan untuk sektor pendidikan tinggi sedang direncanakan bagi membantu merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara maju akan tercapai tidak lama lagi.

“Sebuah Negara maju mempunyai beberapa ciri penting antaranya penguasaan ilmu pengetahuan dan juga teknologi. Oleh itu, penguasaan pendidikan dan kemajuan penyelidikan harus bergerak seiring dan tidak wajar dipandang enteng lagi jika kemajuan Negara ingin dicapai,” katanya.

Terdahulu, sebagai menghargai jasa dan sumbangan Datuk Kamarudin, penganjur ITEX 2016 iaitu MINDS menawarkan tapak pameran kepada beliau bagi mempamerkan semua kejayaan yang dilakar beliau bersama ITEX sepanjang bergelar Naib Canselor UniMAP untuk dikongsikan bersama pengunjung ITEX 2016.

ITEX’16 mempamerkan lebih 1000 penyelidikan oleh penyelidik universiti, pusat penyelidikan dalam dan luar Negara, sekolah rendah dan menengah, termasuklah sektor swasta dari 22 negara antaranya China, Jerman, Hong Kong, Indonesia, Iraq, Korea, Oman, Filipina, Poland, Rusia, Arab Saudi, Taiwan, Thailand, Amerika Syarikat, Vietnam, Malaysia dan banyak lagi.

Turut diadakan adalah Malaysian Young Inventors Exhibition (MYIE) yang menjadi platform kepada 152 penyelidik muda Negara untuk mempamerkan hasil penyelidikan mereka. Malah penyelidik muda ini juga turut berpeluang untuk bersaing dengan penyelidik muda antarabangsa melalui Asian Young Inventors Exhibition (AYIE). 

ITEX’16 dibuka untuk dilawati orang ramai bermula dari jam 9 pagi hingga 6 petang (12 dan 13 Mei 2016) dan 9 pagi hingga 2 petang (14 Mei 2016).