RY31 – Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Kepujian)
(Kuasa Industri)
Program ini tertumpu kepada bidang sistem kuasa industri. Pelajar yang mengikuti kursus ini akan mempelajari keseluruhan operasi dalam sistem kuasa merangkumi sistem penjanaan, penghantaran dan pengagihan kuasa. Selain itu, kursus ini turut meliputi mesin elektrik, pengoperasian pencawang, sistem pengaturan, kawalan motor dan pengawal mesin PLC. Secara umumnya, bidang kuasa industri mempunyai skop yang luas terutamanya di dalam bidang operasi dan penyelenggaraan motor berkuasa tinggi dan sistem pengagihan kuasa domestik.
RY21 – Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia (Kepujian)
(Bioteknologi Industri)
Program ini ditawarkan dengan tujuan melahirkan graduan yang memiliki kemahiran praktikal, diterima pasaran kerja sebagai juruteknologis / jurutera berkelayakan yang berjaya dalam kerjaya serta memenuhi kehendak industri berasaskan bioteknologi. Program pengajian ini juga bertujuan melahirkan graduan yang memiliki tahap kefahaman yang mendalam dan menyeluruh terhadap prinsip asas sains dan teknologi kejuruteraan yang menjadi asas kepada bioteknologi serta mampu untuk mendalami pengetahuan dan kemahiran selaras dengan kepantasan perubahan dalam industri dan bidang bioteknologi. Di samping itu, program ini juga bertujuan untuk membangunkan graduan yang mempunyai kemampuan menyumbang perkhidmatan kepada masyarakat dengan mempromosi nilai-nilai etika dan profesional, memahami implikasi keselamatan serta menghayati sumber semula jadi dan alam sekitar.
Program ini dirangka secara spesifik untuk menyediakan pelajar dengan adunan teori dan kemahiran teknikal dalam disiplin-disiplin berasaskan bioteknologi seperti mikrobiologi, teknologi penapaian dan prinsip-prinsip kejuruteraan bagi kegunaan industri bioteknologi. Kesemua disiplin ini diintegrasikan di dalam kurikulum pengajian teknologi kejuruteraan kimia yang menekankan latihan praktik yang intensif di samping menyediakan kemahiran berkomunikasi dan lain-lain kemahiran insaniah yang mantap. Graduan yang dilengkapi dengan kemahiran teknikal dan kemahiran insaniah ini akan dapat berkhidmat dalam industri berasaskan bioteknologi seperti bio-bahan api, bio-farmaseutikal, enzim, bio-bahan dan bio-tenaga demi menjamin penggunaan sumber semula jadi yang lestari.
RY11 – Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Awam (Kepujian)
(Pembinaan)
Program ini direkabentuk untuk melahirkan graduan yang mempunyai kepakaran dari segi teori dan praktikal dalam bidang Teknologi Kejururuteraan Awam khususnya dalam bidang pembinaan. Para graduan akan diterapkan dengan ilmu dan kemahiran teknikal yang berpandukan kepada teknologi terkini yang memenuhi permintaan pasaran semasa. Pengetahuan dalam bidang teknologi kejuruteraan pembinaan bukan sahaja tertumpu kepada aspek teknikal sahaja malahan menitik berat aspek pengurusan serta pembangunan mampan dan mempunyai elemen teknologi hijau yang mengambil kira keperluan generasi akan datang.
Prospek pekerjaan dan karier bagi bakal graduan adalah luas kerana bidang ini sudah lama sinonim dengan pembangunan tamadun manusia. Graduan peluang memasuki alam pekerjaan di agensi-agensi kerajaan dan swasta. Mereka berpeluang berkhidmat sebagai kontraktor dalam industri pembinaan, usahawan dalam bidang pembinaan, jurutera/penyelia tapak, pegawai kesihatan dan keselamatan perkerjaan di tapak bina, pembekal produk pembinaan, pegawai penyelidik (R&D) di institusi akademik dan penyelidikan dan juga agensi kerajaan. Latihan Industri selama 6 bulan di syarikat awam dan swasta membolehkan graduan mempersiapkan diri sebelum memasuki alam pekerjaan sebenar.
RY20 – Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia (Kepujian)
(Proses Kimia Industri)
Program ini direkabentuk untuk melahirkan graduan yang memiliki kemahiran praktikal, diterima pasaran kerja sebagai jurutera teknologi dalam pengkhususan pemprosesan kimia dalam usaha untuk memenuhi kehendak industri kimia. Program pengajian ini juga bertujuan melahirkan graduan yang memiliki tahap kefahaman yang mendalam dan menyeluruh terhadap prinsip asas sains dan teknologi kejuruteraan yang menjadi asas kepada lapangan petrokimia dan oleokimia serta mampu untuk mendalami pengetahuan dan kemahiran selaras dengan kepantasan perubahan dalam industri dan bidang tersebut. Di samping itu, program ini juga bertujuan untuk membangunkan graduan yang mempunyai kemampuan menyumbang perkhidmatan kepada masyarakat dengan mempromosi nilai-nilai etika dan profesional, memahami implikasi keselamatan serta menghayati sumber semula jadi dan alam sekitar.
Program ini dirangka secara spesifik untuk menyediakan pelajar dengan adunan teori dan kemahiran teknikal dalam disiplin-disiplin berasaskan kejuruteraan kimia khususnya dalam rekabentuk loji pemprosesan kimia yang ekonomik, selamat, dan mesra alam. Sub-bidang yang menjadi tonggak kepada rekabentuk loji adalah seperti kejuruteraan tindakbalas kimia, proses-proses pemisahan, kawalan proses dan instrumentasi, perawatan sisa loji di mana prinsip-prinsip kejuruteraan diaplikasikan dalam membangunkan sesuatu proses penukaran bahan mentah kepada barangan keperluan yang berguna kepada masyarakat. Kesemua disiplin ini diintegrasikan di dalam kurikulum pengajian teknologi kejuruteraan kimia yang menekankan latihan praktik yang intensif di samping menyediakan kemahiran berkomunikasi dan lain-lain kemahiran insaniah yang mantap. Graduan yang dilengkapi dengan kemahiran teknikal dan kemahiran insaniah ini akan dapat berkhidmat dalam industri berasaskan petrokimia/oleokimia seperti penghasilan bahan api, baja kimia, farmaseutikal, polimer dan tenaga boleh diperbaharui demi menjamin kelangsungan sumber semula jadi yang lestari dan mesra alam.
RY01 – Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia (Kepujian)
(Teknologi Makanan)
Program ini direkabentuk khusus untuk menyediakan pelajar dengan kurikulum yang menumpukan kepada asas pengetahuan dan kemahiran praktikal dalam bidang teknologi kejuruteraan kimia dengan pengkhususan berhalatujukan kepada bidang teknologi makanan. Asas teknologi kejuruteraan kimia dijadikan sebagai landasan bagi memastikan graduan yang dilahirkan berinovasi ke arah pembangunan sumber makanan, produk dan proses baharu yang lebih berkualiti dan selamat di samping kecemerlangan dalam akademik, bersifat holistik, berkemahiran dan mempunyai nilai jati diri yang tinggi. Struktur kurikulum yang dirangka dengan kandungan makmal melebihi 50% dan latihan industri selama 6 bulan di akhir semester pengajian juga mampu meningkatkan peluang pelajar untuk diserap terus sebagai pekerja di industri terlibat.
Antara peluang kerjaya yang berkaitan :
Teknologis Profesional/Pegawai Proses
Teknologis Profesional/Pegawai Kimia
Penyelia Makmal
Ahli Akademik
Teknologis Profesional/Pegawai eknologi Makanan
Teknologis Profesional/Pegawai Piawaian Kualiti dan Kawalan Mutu
Teknologis Profesional/Pegawai analisis makanan
Teknologis Profesional/Pegawai Pengeluaran
Teknologis Profesional/Pegawai Keselamatan dan Kesihatan
Teknologis Profesional/Pegawai Alam Sekitar
Teknologis Profesional/Pegawai Penyelidikan (R&D)
Teknologis Profesional/Pegawai
Teknologis Profesional/Pegawai Penguatkuasa Makanan Halal
Teknologis Profesional/Pegawai Pembangunan Produk
Teknologis Profesional/ Pegawai/ Auditor/ Perunding Keselamatan Makanan