A+ A A-
  • كتب بواسطة: Sharifah Noor Sahila Syed Jamal
  • المجموعة: ADMISSION

RA72 Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu (Kepujian)

 

Pusat Pengajian Pembangunan Insan danTeknokomunikasi

RA72 – Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu (Kepujian)

Program ini dirangka khusus untuk menghasilkan graduan yang mempunyai pengetahuan serta kemahiran dalam komunikasi, media baharu, teknologi maklumat, pengurusan dan keusahawanan yang berdaya saing, inovatif dan kreatif selaras dengan keperluan industri. Kurikulum program direka secara khusus bertujuan: pertama, memupuk tenaga kerja yang kompeten berkomunikasi supaya berkesan melaksana tugas dan tanggungjawab dalam organisasi; kedua, melatih tenaga kerja yang berupaya memanfaatkan media baru untuk meningkatkan kecekapan sistem penyampaian; dan ketiga, memindahkan ilmu pengurusan dan keusahawanan kepada tenaga kerja supaya berupaya menjadikan organisasi lebih efektif dan berdaya saing dalam proses menawarkan produk atau perkhidmatan. Gabungan pelbagai kemahiran pada satu masa akan menghasilkan graduan hibrid yang memiliki daya saing tinggi untuk menghadapi cabaran dalam era globalisasi serta mempunyai kualiti kendiri yang tinggi untuk pasaran kerjaya.

Malah, program ini juga mampu melahirkan tenaga kerja yang mampu mendokong keperluan dasar industri kreatif yang semakin berkembang pesat terutamanya industri kreatif multimedia yang menekankan pembangunan produk-produk kreatif dan menjadikan industri kreatif sektor dinamik yang dapat meningkatkan sumbangan kepada KDNK negara dan seterusnya menyumbang kepada ekonomi berpendapatan tinggi (high-income economy).

Antara peluang kerjaya yang berkaitan :

  • Pegawai Perhubungan Awam
  • Pegawai Penerangan
  • Pegawai Penerbitan
  • Pegawai Tadbir
  • Eksekutif Komunikasi Korporat
  • Pengurus Acara
  • Penyampai Radio & TV
  • Wartawan/Editor/Penulis
  • Pereka Grafik & Animasi
  • Penerbit Produksi Media & Digital
  • Jurufoto
  • Pegawai Pemasaran
  • Perunding
  • Jurucakap Produk
  • كتب بواسطة: Sharifah Noor Sahila Syed Jamal
  • المجموعة: ADMISSION

RP52 Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Kepujian) (Keusahawanan Kejuruteraan)

 

Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan dan Teknousahawan

RP52 – Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Kepujian)

             (Keusahawanan Kejuruteraan) 

Matlamat program ini adalah untuk melahirkan usahawan yang berasaskan kejuruteraan dan teknologi pengurusan yang menyediakan pelajar dengan ilmu pengetahuan khusus dalam bidang keusahawanan dan pengurusan perniagaan. Program ini direkabentuk untuk para pelajar yang berminat dalam bidang keusahawanan tetapi mahu membangunkan pengetahuan dan kemahiran asas ilmu kejuruteraan yang berkaitan dengan penghasilan dan pemasaran produk-produk berasaskan teknologi dan industri.

Seterusnya, program ini berhasrat melahirkan graduan yang mempunyai kefahaman dan kemahiran yang lebih seimbang antara aspek keusahawanan dan teknikal melalui pembelajaran kursus-kursus asas kejuruteraan dan keusahawanan. Mereka juga mampu berdikari, komited terhadap lapangan yang diceburi serta mempunyai daya saing yang tinggi untuk berhadapan dengan cabaran di era globalisasi pada masa kini.

Graduan Keusahawanan Kejuruteraan mempunyai prospek kerjaya yang amat cerah memandangkan mereka dilatih untuk menjadi usahawan teknologi yang berjaya. Berbekalkan ilmu, kemahiran dan pengalaman melalui program inkubator secara off-campus, graduan diyakini mampu menceburkan diri secara sepenuh masa dalam bidang perniagaan dan keusahawanan. Tidak dinafikan, mereka akan berhadapan dengan segala risiko yang perlu dihadapi oleh seorang usahawan. Namun diyakini graduan program ini mampu menghasilkan individu yang berdaya saing yang tinggi, komited, cekal untuk berjaya dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.

Antara peluang kerjaya yang berkaitan :

  • Teknousahawan/ Usahawan Atas Talian
  • Perunding Perniagaan
  • Pegawai/ Eksekutif Kredit
  • Pegawai Tadbir dan Diplomatik
  • Pegawai/ Eksekutif Kewangan
  • Pegawai/ Eksekutif Projek
  • Ahli Akademik
  • Jurutera Jualan/ Eksekutif Jualan
  • Pegawai Acara
  • Pegawai Logistik/ Pergudangan
  • Pelatih Pengurusan
  • Perunding Perniagaan
  • Perancang Organisasi Strategik
  • Pegawai Operasi
  • Pegawai/ Eksekutif Perkhidmatan Pelanggan
  • Pegawai/ Eksekutif Keselamatan dan Kesihatan
  • Pengurus/ Eksekutif di bidang Pemasaran, Operasi, Sumber Manusia
  • Pegawai Penyelidik
  • كتب بواسطة: Sharifah Noor Sahila Syed Jamal
  • المجموعة: ADMISSION

RK07 - Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Alam Sekitar dengan Kepujian

 

Pusat Pengajian Kejuruteraan Alam Sekitar

RK07 – Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Alam Sekitar dengan Kepujian

             

Objektif program ini adalah bertujuan untuk melahirkan tenaga manusia di peringkat iktisas yang mahir serta mempunyai pengetahuan yang kukuh dalam bidang Kejuruteraan Alam Sekitar. Para graduan diterapkan dengan budaya ilmu kejuruteraan supaya mempunyai personaliti dan keperibadian yang unggul dan mampu berdikari sebagai jurutera profesional serta mampu memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara.  Kurikulum Kejuruteraan Alam Sekitar adalah merangkumi pengetahuan dalam bidang sains kejuruteraan (seperti termodinamik, mekanik bendalir dan pemindahan jisim), sains tulen (seperti ekologi asas dan kimia sekitaran), pengurusan sumber alam sekitar (seperti penilaian dan pengurusan alam sekitar) serta teknologi kejuruteraan alam sekitar (seperti kejuruteraan air sisa, kejuruteraan pencemaran udara dan remediasi alam sekitar).

Prospek kerjaya para graduan setelah tamat kursus adalah luas kerana mereka dilatih secara multidisiplin yang melibatkan kajian kimia, mikrobiologi, ekologi dan pengurusan kejuruteraan dan alam sekitar selain daripada prinsip-prinsip kejuruteraan.  Di antara sektor-sektor kerajan dan swasta yang menawarkan peluang kerjaya kepada para graduan adalah seperti JAS, JPS dan JKR, Nuclear Malaysia, MARDI, PORIM, NIOSH, industri tenaga, air, petroleum dan petrokimia serta pembinaan, tempatan dan antarabangsa. 

Antara peluang kerjaya yang berkaitan :

  • Jurutera/Pegawai Alam Sekitar
  • Jurutera/Eksekutif Penilaian Risiko
  • Pegawai Peguatkuasa Alam Sekitar
  • Jurutera Pemulihan Tapak
  • Jurutera Proses
  • Jurutera Sumber/Bekalan Air
  • Jurutera/Eksekutif Perunding
  • Jurutera Kawalan Pencemaran
  • Jurutera Kesihatan Awam
  • Ahli Akademik
  • Eksekutif Pembangunan Mampan
  • Kontraktor Teknikal Alam Sekitar
  • Jurutera/Eksekutif Jualan
  • Usahawan Alam Sekitar
  • Jurutera/Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar
  • Jurutera/Pegawai Kawalan Kualiti Alam Sekitar
  • كتب بواسطة: Sharifah Noor Sahila Syed Jamal
  • المجموعة: ADMISSION

RE09 Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Kepujian) (Perniagaan Antarabangsa)

 

Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan dan Teknousahawan

RE09 – Ijazah Sarjana Muda Perniagaan  (Kepujian)

             (Perniagaan Antarabangsa)

Matlamat program ini adalah untuk melahirkan pelajar yang berpengetahuan serta berkebolehan mengendalikan urusan perniagaan di arena antarabangsa sesuai dengan kedudukan Malaysia yang semakin meningkat dalam konteks perdagangan antarabangsa serta melahirkan tenaga pakar sebagai pengurus atau pekerja dalam apa jua dunia perniagaan.  Maka, ilmu pengetahuan dan kefahaman tentang isu global serta ilmu perniagaan antarabangsa merupakan persediaan penting untuk menghadapi dunia perniagaan yang lebih kompetitif.

Graduan daripada program ini dapat memahami intipati untuk menjalankan pengurusan perniagaan di Malaysia dan di peringkat global di samping memahami faktor budaya, bahasa, sistem politik, geografi, dan sosio ekonomi. Mereka juga mempunyai kebolehan menggabungkan dan mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari, berketrampilan, boleh berdikari serta berupaya mencari penyelesaian kepada pelbagai bentuk masalah melalui pemikiran yang inovatif dan kreatif serta didokongi sifat mulia dan terpuji.

Selain itu, program ini juga dapat menarik minat pelajar-pelajar antarabangsa untuk belajar di Malaysia dalam bidang pengurusan perniagaan sejajar dengan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi bertaraf dunia (world class education).

Kerjaya utama bagi graduan lulusan program ini adalah sebagai pengurus dalam bidang pekerjaan yang berasaskan kemahiran pengurusan, operasi, kewangan, audit, pelaburan dan perbankan, sumber manusia , pemasaran dan teknologi maklumat.   Graduan ini juga berkemampuan memberikan perkhidmatan pakar dalam sektor penyelidikan dan pembangunan industri perniagaan melalui khidmat nasihat perniagaan, urusniaga perdagangan ke atas syarikat multinasional, industri tempatan, industri kecil, universiti dan badan korporat dan agensi kerajaan. Mereka juga berupaya memberikan perkhidmatan dalam bidang perundingan dan penasihatan contohnya sebagai perunding pengurusan projek dan perancang pelan perniagaan.

Antara peluang kerjaya yang berkaitan :

  • Pegawai/ Eksekutif Kewangan
  • Pegawai Perhubungan Awam
  • Perunding Perniagaan
  • Pegawai/ Eksekutif Kredit
  • Pelatih Pengurusan
  • Perancang Organisasi Strategik
  • Penasihat Pelaburan
  • Pegawai Diplomat
  • Perunding Export/Import
  • Teknousahawan/ Usahawan Atas Talian
  • Pegawai Penyelidik
  • Agen Pengagihan (Forwarding Agent)
  • Penganalisis Pertukaran Matawang
  • Pengurus Operasi
  • Pegawai Tadbir dan Diplomatik
  • Pengeksport/ Pengimport
  • Pengurus Pengangkutan (Laut, Udara, Air dan Paip)
  • Pegawai Kastam (dokumentasi, cukai dan tarif)
  • Pegawai/ Eksekutif Keselamatan dan Kesihatan
  • Pegawai/ Eksekutif Perkhidmatan Pelanggan
  • Perunding/ Pengurus Logistik/ Penyimpanan/ Gudang
  • Ahli Akademik/ Pembantu Penyelidik/ Pegawai Penyelidik
  • Pembuat Keputusan/Ketua dalam Organisasi/ Projek Antarabangsa/ Tugasan Antarabangsa
  • Juruanalisa Perniagaan/ Perancang Perniagaan
  • Pengurus/ Eksekutif di bidang Pemasaran, Operasi, Sumber Manusia, Hotel & Fasiliti, dan Industri Pelancongan
  • كتب بواسطة: Sharifah Noor Sahila Syed Jamal
  • المجموعة: ADMISSION

RK01 - Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dengan Kepujian

 

Pusat Pengajian Kejuruteraan Alam Sekitar

RK01 – Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dengan Kepujian

Program ini adalah bertujuan melahirkan para graduan yang berkelayakan akademik dan berkemahiran di dalam bidang Kejuruteraan Awam.  Para graduan diterapkan dengan budaya ilmu kejuruteraan supaya mempunyai personaliti dan keperibadian yang unggul dan mampu berdikari sebagai jurutera profesional serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.  Pelajar-pelajar yang mengikuti program ini akan didedahkan dengan pelbagai bidang ilmu mengenai kejuruteraan awam yang meliputi rekabentuk struktur, asas bangunan, teknologi konkrit dan besi, geoteknik, geomatik, pengurusan projek binaan, pengurusan sumber air, sistem binaan berindustri (IBS), teknologi bangunan pintar dan bahan binaan.

Prospek pekerjaan dan karier bagi bakal graduan adalah amat cerah kerana bidang ini sudah lama sinonim dengan pembangunan tamadun manusia. Graduan Kejuruteraan Awam akan mendapat peluang pekerjaan di agensi-agensi kerajaan dan swasta.  Mereka berpeluang berkhidmat sebagai jurutera dalam industri pembinaan, jurutera perunding, kontraktor, pegawai penyelidik (R&D) di institusi akedemik dan penyelidikan serta agensi kerajaan seperti JKR, JPS dan Majlis Perbandaran serta Kerajaan Tempatan. 

Antara peluang kerjaya yang berkaitan :

  • Jurutera Awam
  • Jurutera Perunding
  • Jurutera Fasiliti
  • Jurutera Struktur
  • Jurutera Rekabentuk
  • Jurutera Tapak
  • Jurutera Residen
  • Kontraktor/ Pembekal Pakar
  • Jurutera Perkhidmatan Bangunan
  • Jurutera Perunding Awam
  • Jurutera/Eksekutif Jualan
  • Ahli Akademik

مجموعات فرعية