A+ A A-

المقالات

Jaga Batasan Hubungan Berlainan Jantina

  • المجموعة: BERITA - Malay

KANGAR, 23 Mac — Aktiviti seharian memerlukan kita untuk berhubung dan bergaul antara berlainan jantina, namun ia mempunyai batas-batas yang perlu diikuti bagi mengelakkan masalah sosial berlaku.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan berkata, konteks pergaulan adalah cukup luas dan mencakupi segenap aktiviti harian kita seperti dalam urusan kemasyarakatan, jual beli, kerja, belajar dan perubatan.

“Malaysia merupakan negara yang amat istimewa kerana mempunyai pelbagai etnik bangsa dan agama, ini merupakan salah satu bukti keagungan Allah yang maha kaya dan bijaksana menjadikan sesuatu.

“Tidak hairanlah Malaysia sentiasa di pandang tinggi dalam menjaga hubungan sosial sesama masyarakat dan di dalam istilah bahasa arabnya dipanggil Majmuk,”katanya ketika berucap merasmikan Forum Keharmonian Antara Agama Peringkat UniMAP 2016 di Dewan Kecemerlangan, Kompleks Dewan Kuliah, Kampus Induk UniMAP, di sini, baharu-baharu ini.

Forum Keharmonian Antara Agama yang bertajuk “Etika Sosial: Perspektif Agama” disertai empat ahli panel yang mewakili empat agama utama di Malaysia iaitu, Pegawai Institut Sunnah dan Irsyad, Jabatan Mufti Negeri Perlis, Mohd Azri Mohd Nasaruddin, Pengerusi Kuil Arulmigu Arumugaswamy Devasthanam,Perlis,   Dr. Hari Ram a/l Ramayya,Wakil dari Persatuan Agama Buddha Perlis, Chong Kian Yew dan wakil bagi agama Kristian, Dr. Ragunathan A/L Santiagoo.

 

Program selama sehari itu berjaya menarik minat lebih 400 peserta yang terdiri dari kalangan staf dan pelajar UniMAP.

Ujar beliau lagi, secara umumnya pergaulan yang perlu diberikan perhatian oleh setiap ahli masyarakat ialah memandang saudara-saudaranya dengan pandangan sangka baik.

 

“Ia bermaksud pandangan yang penuh dengan harapan agar saudaranya sentiasa mendapat taufiq dan hidayah Ilahi kontek pergaulan di antara Muslim dan bukan Muslim.

 

“Kita sedia maklum, secara fitrahnya, manusia tidak boleh hidup keseorangan, seperti mana Nabi Adam a.s yang minta dijadikan teman iaitu Hawa meskipun telah dilimpahi dengan pelbagai kenikmatan dan kesenangan di syurga,”katanya lagi.

Kata Dr. Mohd Fo’ad lagi, pergaulan merupakan suatu keperluan dan tuntutan dalam kehidupan dan Allah telah merakamkan perkara itu di dalam hadis Qudsi sebagai suntikan bahawa setiap pergaulan yang berteraskan untuk mengagungkan dan menqasadkan Allah akan dianugerahkan ganjaran yang terlalu istimewa di akhirat kelak.

Ustaz Mohd Azri Mohd Nasaruddin dari Jabatan Mufti Negeri Perlis sedang memberi penerangan mengenai agama Islam kepada peserta Forum Keharmonian Antara Agama Edisi Ke 4 yang berlangsung di Dewan Kecemerlangan, Kampus Pauh Putra.

 

Dr. Hari Ram a/l Ramayya mewakili agama Hindu menerima cenderahati dari Y Bhg Prof. Madya Mohd Foad Sakdan.
 
Salah seorang peserta yang merupakan pelajar antarabangsa yang mengajukan soalan kepada ahli penal selepas forum tersebut.
 
Ahli Jawatankuasa MPP UniMAP mengambil kesempatan bergambar bersama ahli panel Forum Keharmonian Antara Agama Edisi Ke 4 selepas selesai forum tersebut.
 

MoU UniMAP dan UniKL Mantapkan Agenda TVET

  • المجموعة: BERITA - Malay

Kangar,7 Mac – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Teknikal Mara Sdn Bhd (UniKL) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada 26 Februari, baru-baru ini.

Majlis berkenaan diadakan di Bangunan Canselori, UniKL di Kuala Lumpur bagi merealisasikan perbincangan awal sejak tahun lalu menerusi penyeliaan bersama dan bidang penyelidikan serta menunjukkan komitmen antara UniMAP dan UniKL sekaligus merapatkan hubungan kerjasama yang sedia terjalin di antara universiti awam dengan universiti swasta.

Dokumen MoU itu ditandatangani oleh Pemangku Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal dan Presiden UniKL, Dato’ Prof Dr Mazliham Mohd Su’ud dengan disaksikan oleh, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan UniMAP Dr. Khairel Rafezi Ahmad, Professor di Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan UniMAP Prof. Dr. Mohd Noor Ahmad, Timbalan Presiden Akademik dan Teknologi, UniKL, Prof. Dato' Dr. Azanam Shah Hashim, Dekan British Malaysia Institute (BMI), UniKL Prof.Madya Dr. Mohd Izhar Abu Bakar, dan Pensyarah Kanan, BMI, UniKL Dr. Mohd Azraie Mohd Azmi.

Dato’ Zul Azhar berkata, memorandum persefahaman itu dicapai bagi memantapkan agenda Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) berdasarkan pengalaman serta kepakaran yang dimiliki UniMAP serta UniKL.

“Kerjasama dalam bidang penyelidikan juga dapat dilaksanakan melalui kajian dalam bidang ‘nanobiosensor’ berasaskan Graphene Oksidauntuk mengesan penyakit kanser di peringkat awal.

“Selain itu, kerjasama juga melibatkan permohonan geran bersama daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia seperti ‘Long-term Research Grant Scheme (LRGS)’, ‘Fundamental Research Grant Scheme’ (FRGS), ‘Transdisciplinary Research Grant Scheme (TRGS), dan ‘Collaborative Research in Engineering Science and Technology (CREST)’ yang melibatkan kerjasama antara universiti dan syarikat.,” katanya dalam sebuah kenyataan di sini.

Terdahulu melalui Centre of Excellence for Advanced Sensor technology (CEASTech), UniMAP bersama Spanish Malaysian Institute, Kulim, Kedah telah melaksanakan kerjasama penyelidikan dan pembangunan bahan nano bagi fabrikasi penderia seperti ‘Graphen’ dan bahan filem nipis ‘Thin Film Material’ yang baru.

Kolaborasi itu juga bagi mendapatkan geran atas kerjasama dengan institusi luar negara, seperti geran Newton-Ungku Omar dan British Council. Melalui penyelidikan ini juga, kedua-dua pihak akan memulakan ‘start-up company’.

 

<