A+ A A-

USR UniMAP: Terowong Sanitasi Mudah Alih Kekang COVID-19

Oleh : Mohd Basri Basir

KANGAR 24 Mac.– Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melalui Pusat Pengajian Diploma (PPD) telah membantu Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang untuk memasang Terowong Sanitasi Mudah Alih (Mobile Sainitizing Tunnel).


Pemasangan terowong sanitasi tersebut merupakan keperluan kecemasan bagi mencegah penularan COVID 19  dengan menghilangkan virus atau bakteria yang melekat pada pakaian pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan.

Naib Canselor UniMAP, Prof. Ir. Dr. R Badlishah Ahmad berkata, pemasangan produk penyelidikan UniMAP itu merupakan salah satu sumbangan bagi membantu barisan hadapan yang sedang melawan COVID 19.

“Ini merupakan salah satu sumbangan kecil kita untuk bersama-sama membantu barisan hadapan yang sedang berusaha keras melawan virus yang melumpuhkan dunia pada hari ini.


“Saya menyeru agar semua Universiti, dan Pusat Pengajian Tinggi di negara ini yang mempunyai produk atau hasil penyelidikan yang boleh membantu meringankan beban barisan hadapan untuk tampil bersama-sama bagi melawan virus yang membawa maut ini,”katanya.

Sementara itu, penyelidik Mobile Sanitising Tunnel, Erdy Sulino Mohd Muslim Tan berkata, produk tersebut adalah hasil ciptaan beliau bersama rakannya Mat Nor Mohammad Ismail.

“Terowong ini amat praktikal kerana ianya mudah alih  dan boleh diletakkan di tempat-tempat yang berisiko sekaligus  memudahkan staf KPJ menguruskanya.

“Mesin ini beroperasi secara automatik apabila orang melaluinya dan ia mampu menyemburkan kabus sehalus 10-15 micron dengan mengunakan sanitizer tanpa alkohol,’katanya. 

Ujar Erdy lagi, sehingga kini, pihaknya  mendapat beberapa permintaan dari syarikat perkilangan dan hospital swasta di  sekitar Pulau Pinang dan kedah untuk memasang Mobile Sanitising Tunnel di kilang-kilang mereka.

 

Tagged under: UniMAP, berita, Covid19,