300 Peserta Sertai Kayuhan Santai Naib Canselor UniMAP 2020
Oleh: Suhana Abd Mutalib
ARAU,25 Julai – Lebih 300 peserta mengambil bahagian dalam program Kayuhan Santai Naib Canselor (KSNC2020) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang berlangsung di Kampus Alam UniMAP Pauh Putra di sini semalam.
Lebih menarik lagi, kayuhan yang julung kali dianjurkan itu turut meyaksikan penampilan istimewa bekas jaguh lumba basikal lebuh raya negara, Adiq Husainie Othman yang mengambil bahagian dalam acara 70 kilometer.
Naib Canselor UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad berkata, KSNC2020 dianjurkan khusus untuk mengeratkan hubungan antara seluruh warga UniMAP dengan dua kategori dipertandingkan iaitu kayuhan santai 30 kilometer dan kayuhan lebuhraya 70 kilometer.
Selain itu, ujarnya, ia secara tidak langsung juga sebagai simbolik perpindahan keseluruhan operasi pentadbiran UniMAP ke kampus induk melalui penempatan di Bangunan Canselori yang siap diduduki Mac lalu.
“Sebelum ini, operasi pentadbiran UniMAP yang merangkumi Pejabat Naib Canselor, Pejabat Timbalan-Timbalan Naib Canselor, Jabatan Pendaftar dan Jabatan Bendahari beroperasi secara teragih di seluruh Kangar.
“Justeru, sementara menunggu perasmian Bangunan Canselori yang masih tertangguh ekoran pandemik COVID19. Atas dasar itu, pelepasan peserta KSNC2020 dibuat di perkarangan bangunan Canselori dan merupakan alternatif terbaik untuk memaklumkan perpindahan tersebut,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada majlis penutup dan penyampaian hadiah cabutan bertuah kepada para peserta yang bertuah di Kolej Kediaman Tuanku Tengku Fauziah di sini.
Mengulas lanjut, Prof. R Badlishah berkata, selain mendapat penyertaan yang ramai, KSNC2020 turut menerima tajaan dari pelbagai pihak termasuk tajaan basikal, aksesori berbasikal, mesin urutan serta hamper dan minuman kesihatan.
Mengenai laluan pula, ujar beliau, peserta kategori 70 kilometer perlu mengayuh bermula dari kampus UniMAP Alam Pauh Putra menuju ke Kampus Uniciti Alam di Sg. Chuchuh padang besar melalui Chuping dan berpatah balik ke Kampus Alam UniMAP Pauh Putra.
“Bagi peserta kategori 30 kilometer pula, laluan adalah melalui Kampus Alam UniMAP Pauh Putra menuju ke Sekolah Rendah Kebangsaan Batu Bertangkup dan berpatah balik ke kampus utama,” jelasnya.
Sementara itu, Adiq Husainie berkata, penyertaan beliau dalam acara tersebut adalah secara kebetulan memandangkan beliau kini sedang berada di Kedah untuk urusan keluarga.
“Selepas dimaklumkan yang UniMAP anjurkan kayuhan dengan penyertaan dari Naib Canselornya sendiri, justeru saya merasakan ini peluang terbaik untuk saya melepaskan rindu pada acara berbasikal lebuh raya selepas bersara tahun lalu.
“Meskipun ada beza penyertaan untuk pertandingan dan penyertaan secara santai ini, namun satu yang harus diakui, rata-rata peserta bagi kategori 70 kilometer termasuk Prof. R Badlishah sendiri memiliki stamina yang tinggi. Sekalung tahniah buat UniMAP,” ujarnya.